Anggota komando tentera dikhuatiri lemas ketika kursus juruselam
Shuhada Abdul Kadir
Februari 7, 2023 20:38 MYT
Februari 7, 2023 20:38 MYT
JASIN: Seorang anggota tentera yang bertugas di Unit Komando dikuatiri lemas di kawasan perairan Pulau Undan, di sini, petang ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 5 petang itu, mangsa Lans Koperal Edrin Baintim,25, dikatakan hilang semasa sedang menjalani kursus juruselam di kawasan perairan berkenaan.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Syakirin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.31 petang sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Melaka Tengah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebanyak 16 anggota telah bergegas ke lokasi dan setibanya di tempat kejadian, benar terdapat seorang mangsa lelaki berbangsa Dusun yang juga anggota tentera Unit Komando dikhuatiri lemas.
“Mangsa dikatakan lemas bersama peralatan menyelam semasa menjalani kursus juruselam di kawasan perairan Pulau Undan itu,” katanya.
Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dilakukan dengan bantuan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).