Anggota komando lemas, keluarga harap jasad ditemui
Shuhada Abdul Kadir
Februari 10, 2023 14:53 MYT
Februari 10, 2023 14:53 MYT
MELAKA TENGAH: Keluarga kepada anggota komando Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang hilang ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Undan, di sini, Selasa lalu hanya mengharapkan jasad anak bongsu dalam keluarga itu dapat ditemui.
Abangnya, Andy, 28, berkata, meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari keempat, dia dan keluarga masih mengharapkan adiknya ditemui dalam keadaan selamat.
Dalam masa sama, Andy sekeluarga reda dengan apa sahaja ketentuan takdir.
Kata Andy, dia amat rapat dengan Edrin memandangkan adiknya itu sangat mengutamakan keluarga.
Bahkan, pada penghujung Januari lalu, mangsa, katanya, memindahkan sejumlah wang kepadanya bagi menyelesaikan semua bayaran bil kediaman ibu bapa mereka di Tongod, Sabah.
“Walaupun ketika ini Edrin sedang sibuk menjalani latihan komando, dia akan tetap ambil masa membuat panggilan video menghubungi keluarga dan kali terakhir kami melakukan panggilan video bersama pada awal bulan lalu sebelum dia menjalani kursus selam itu.
“Cutinya sekarang juga terhad dan kami sempat bersua pada cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini di rumah kakak di Klang, Selangor dan bulan lepas dia juga ada beri sejumlah wang pada saya memandangkan tiba gilirannya untuk bayar bil rumah di kampung,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Andy, kali terakhir mereka 10 beradik berkumpul adalah ketika majlis perkahwinan seorang kakaknya pada 22 Mei lalu dan pertemuan itu amat bermakna meskipun Edrin hanya mendapat pelepasan cuti selama empat hari.
Andy yang merupakan anak kesembilan itu berkata, dia hanya mengetahui berita kehilangan adik bongsunya pada jam 4 petang Selasa lalu melalui aplikasi WhatsApp.
Dia kemudian menghubungi sepupunya yang juga bertugas di Kem Iskandar, Mersing bagi mendapatkan pengesahan berhubung kejadian itu.
“Memang terkejut lah apabila tahu berita itu menerusi kumpulan WhatsApp dan saya cuba sahkan dengan sepupu yang bekerja di kem sama dengan tempat adik saya bertugas dan dia maklumkan memang betul.
“Kebetulan abang saya yang juga seorang askar juga sedang berkursus di Semenanjung dan sekarang kami empat beradik berkumpul di sini dan ditempatkan di Kem Sungai Udang bagi mengikuti perkembangan kes kehilangan adik,” tambahnya.
Menurut Andy, ibu dan bapanya masih berada di kampung dan mereka sentiasa menunggu perkembangan positif.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Edrin dipercayai hilang sewaktu menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Mangsa dikatakan hilang ketika latihan eksesais pari harimau kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang.
Difahamkan, mangsa bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor.