Anggota komando hilang, tidak berlaku pelanggaran SOP - Adly
Shuhada Abdul Kadir
Februari 10, 2023 19:38 MYT
Februari 10, 2023 19:38 MYT
JASIN: Kementerian Pertahanan mengesahkan tiada unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang disengajakan ketika latihan selaman yang menyebabkan seorang anggota komando hilang di perairan Pulau Undan, di sini Selasa lalu.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata bagaimanapun penilaian lanjut akan diteruskan memandangkan terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kemalangan itu berlaku.
“Kalau mengikut laporan yang kita lakukan bahawa semua sekali termasuk dari segi peralatan memenuhi SOP kerana sebelum kejadian kta telah lakukan penyelaman sedalam 60 kaki.
“Kemudian kita teruskan ke 120 kaki dan itu bukanlah kumpulan pertama (kerana) kumpulan pertama telah selesai melakukan selaman dan semua SOP dipatuhi, namun kita tidak nafikan dalam apa jua kemalangan pihak kementerian akan membuat penilaian dan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Jeti Anjung Batu, di sini selepas meninjau Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan di Pulau Besar pada petang Jumaat.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Lans Koperal Edrin Baintim, 25, dipercayai hilang sewaktu menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Mangsa dikatakan hilang ketika latihan Eksesais Pari Harimau kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang.
Mengulas lanjut Adly berkata, pihaknya juga tidak bercadang untuk menggantung sementara aktiviti latihan selaman lain yang sedang dilakukan selagi faktor keselamatan dan kelengkapan anggota diberi perhatian penuh.
Tambahnya, selain meluaskan kawasan pencarian, pasukan SAR turut menggunakan alat pengesan sonar bagi mengesan kedudukan mangsa yang hilang bagi mengenal pasti kedudukan tepat mangsa sama ada berada di dasar dan berapa meter kedalaman daripada bacaan teknologi sonar.
“Semua faktor itu kita akan ambil kira dan kita guna semua keupayaan kita untuk memastikan misi menyelamat memberikan hasil yang diharapkan,” tambahnya.