Anggota keluarga di Hotel Everly adakan bacaan Yasin
Bernama
Mac 25, 2014 14:50 MYT
Mac 25, 2014 14:50 MYT
Anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, yang ditempatkan di Hotel Everly di sini, mengadakan majlis bacaan Yasin hari ini bagi memohon misi pencarian pesawat berkenaan dipermudahkan.
Antara yang hadir ialah anggota keluarga kepada penumpang, Mohd Razahan Zamani dan isteri Norli Akmar Hamid, Khairul Amri Selamat dan Suhaili Mustafa.
Menurut Naib Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pahang di Ibukota Datuk Mustaffa Mat Yasin yang turut serta dalam majlis, majlis itu juga diadakan untuk mendoakan agar pesawat serta penumpang dapat dijumpai segera.
"Dulu ayahnya selalu bawa anaknya ke pejabat saya dan sejak kecil lagi anaknya telah menunjukkan minat untuk menjadi jurutera," katanya yang mengenali Khairul iaitu anak kepada Selamat Omar sejak kecil, kepada pemberita di sini hari ini.
Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.