Anggota Kabinet PH sekali lagi ditegur Kadir Jasin
Astro Awani
Mac 19, 2019 14:48 MYT
Mac 19, 2019 14:48 MYT
TOKOH Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin sekali lagi menegur anggota Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan timbaln menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar belajar memperbaiki kelemahan diri.
Kadir turut mengingatkan mereka agar segera melaksanakan nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jika tidak mahu menjadi kerajaan satu penggal.
Menurut beliau, adalah tidak adil dan sia-sia sekiranya Dr Mahathir mempertahankan mereka apabila dikritik atau ditanya oleh media massa seandainya diri sendiri tidak berusaha memperbaiki diri.
"Seelok-eloknya mereka secara kolektif dan berkesan mempertahankan kerajaan bukan memaksa Perdana Menteri mempertahankan mereka.
"Janganlah terlalu seronok, gembira, selesa dan mendabik dada apabila beliau memberi pelbagai alasan mempertahan dan melindungi mereka," kata Kadir dalam catatan di blog peribadinya.
Dalam masa sama, Kadir mencabar Menteri, timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri membuktikan bahawa mereka bukan badut dan watak jenaka.
Menurut Kadir, semua pemimpin PH harus belajar daripada Perdana Menteri dengan turun sendiri ke padang untuk melawat dan memantau projek.
"Hanya dengan melakukan lawatan mengejut tanpa diiringi oleh kakitangan yang ramai dan dikepung oleh pengawal keselamatan barulah mereka dapat melihat keadaan sebenar.
"Inilah cara Dr Mahathir. Oleh sebab itulah kita sering melihat beliau memandu sendiri, khususnya pada hujung minggu, untuk melihat dan meninjau pelbagai tempat dan perkara yang menarik minat beliau atau yang memerlukan perhatian beliau.
"Cerita beliau tiba-tiba muncul di tapak projek menyebabkan kakitangan awam, eksekutif sektor swasta dan kontraktor sentiasa berjaga-jaga dan tidak curi tulang," kata Kadir sambil mengimbas kembali tradisi Dr Mahathir meninjau perkembangan projek pembinaan Menara Kembar Petronas, Putrajaya dan KLIA.