Anggota JPJ didakwa atas 40 pertuduhan rasuah tak periksa lori syarikat pengangkutan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 18, 2024 06:23 MYT
Tertuduh Mohamad Sobri Osman, 39, dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini.
ALOR SETAR: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 40 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42,100, daripada pengurus sebuah syarikat pengangkutan.
Tertuduh, Mohamad Sobri Osman, 39, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di depan Hakim, N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai pemeriksa kereta motor gred AB29 di JPJ Kuala Ketil, didakwa telah menerima suapan daripada pengurus sebuah syarikat pengangkutan, Saw Chee Leong, 38 melalui akaun Maybank milik tertuduh.
Pemberian rasuah itu didakwa dilakukan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori milik Pro-Star Transport Sdn. Bhd. yang mungkin akan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Rasuah itu didakwa dilakukan antara 10 Mac 2016 hingga 8 oktober 2019 pada kadar antara RM1,000 hingga RM1,100.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Alor Setar.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamed Firdaus M. Farouk.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan dihadapi.
Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan supaya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM40,000 bagi semua pertuduhan dihadapi.
Pihak pembelaan bagaimanapun dalam sesi mitigasi memohon supaya jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan tertuduh masih menanggung keluarga selain tertuduh dipercayai akan digantung kerja selepas ini.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM27,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut diarahkan menyerahkan passport kepada pihak mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#anggota JPJ #kes rasuah #syarikat lori #Kuala Ketil