Anggota JBPM bertugas pada hari mengundi boleh undi secara pos

Bernama
November 17, 2017 16:07 MYT
Wan Mohd Nor berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat JBPM bertemakan "Go Green & Healthy Lifestyle" anjuran Bahagian Udara JBPM di JBPM hari ini. --fotoBERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bekerja dan tidak boleh meninggalkan tempat kerja kerana tuntutan tugas pada hari Pilihan Raya Umum ke-14 kini dibenarkan mengundi secara pos.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata gazet yang membenarkan petugas JBPM yang bertugas pada hari pilihan raya untuk mengundi secara pos dikeluarkan pada 23 Okt lepas.
"Kebenaran untuk mengundi secara pos ini adalah untuk petugas JBPM sahaja dan tidak melibatkan pasangan mereka.
"Ini merupakan perkembangan yang baik dan memberi peluang kepada anggota JBPM untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan JBPM di ibu pejabat JBPM di sini hari ini.
Wan Mohd Nor berkata JBPM akan membekukan cuti warga kerjanya seminggu sebelum dan selepas tarikh pilihan raya umum.
Ini kerana bagi JBPM, pilihan raya umum memerlukan pemantauan dan pemerhatian yang kritikal terutamanya dalam aspek keselamatan, katanya.
Antara tanggungjawab anggota JBPM pada musim pilihan raya ialah siap siaga di kawasan pengiraan undi dan memantau rapat pemilihan umum yang diadakan, katanya.
Mengulas persediaan JBPM menghadapi musim banjir, Wan Mohd Nor berkata JBPM kini dalam keadaan siap sedia dan sudah mengeluarkan arahan pada 1 Nov kepada semua balai JBPM dan ibu pejabat negeri supaya membuat persiapan awal.
Persiapan tersebut antaranya dari segi keanggotaan, kelengkapan, prosedur dan mesyuarat pengurusan bencana di pelbagai peringkat, katanya.
-- BERNAMA
#banjir #beku cuti #bomba #pilihan raya umum #undi #undi pos #Wan Mohd Nor Ibrahim
;