Anggota bomba wajib pakai PFD ketika selenggara bot
Bernama
Mac 26, 2024 00:09 MYT
Mac 26, 2024 00:09 MYT
BUTTERWORTH: Anggota bomba yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan aset bot diwajibkan memakai peranti pengapungan peribadi (PFD) berkuat kuasa serta-merta, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) itu susulan insiden yang meragut nyawa seorang anggota bomba Mohd Izwan Illias ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin di sini pada 22 Feb lepas.
"Sebelum ini, (pemakaian PFD) banyak difokuskan semasa operasi (penyelamatan) sahaja, jadi sekarang kita tambah baik dengan mewajibkan pemakaian PFD, maknanya selagi anggota itu berada di dalam bot dan di air kita akan ketatkan syarat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Pulau Pinang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata laporan penuh siasatan tragedi mengorbankan nyawa Mohd Izwan, 42, yang juga anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Butterworth telah diterima daripada jawatankuasa siasatan diketuai Timbalan Pengarah JBPM Kedah Syufa'at Kamaron.
Menurutnya, hasil siasatan merumuskan Allahyarham meninggal dunia akibat kemalangan dan tiada elemen lain yang terlibat dalam kejadian itu.
Sementara itu, Nor Hisham berkata JBPM menyasarkan untuk memeriksa 17,011 inap desa dan bilik sewa menerusi program Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) pada tahun ini.
Beliau berkata 4,027 inap desa dan bilik sewa telah diperiksa setakat ini dengan 52 notis dikeluarkan kepada pemilik untuk mematuhi keperluan berhubung keselamatan kebakaran.
"Hotel ada perakuan bomba tetapi inap desa sebelum ini tidak diperiksa ... kita buat (pemeriksaan) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi inap desa dan berharap dengan adanya penguatkuasaan ini, isu berhubung kebakaran melibatkan tempat ini dapat dielakkan," katanya.
-- BERNAMA