Anggota bomba selamatkan wanita cuba terjun jambatan terima penghargaan khas

Bernama
Mei 22, 2022 22:29 MYT
Muhammad Syahir yang berasal dari Kedah, sudah 12 tahun menjadi anggota bomba dan kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, di George Town. - Gambar/ Bernama
KEPALA BATAS: Tindakan pantas seorang anggota bomba menyelamatkan wanita cuba terjun dari jambatan Pulau Pinang yang rakaman videonya tular di media sosial semalam, mendapat penghargaan khas sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 hari ini.
Anggota tersebut, Muhammad Syahir Jamaludin, 31, berkata beliau bersyukur dengan penghargaan yang diberi, selain turut teruja kerana dapat menaikkan nama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya semasa kejadian, beliau dalam perjalanan balik ke rumah dari Seberang Perai ke bahagian pulau pada pukul 3 petang.
"Hati saya tergerak untuk berhenti di tepi jalan apabila melihat kekecohan di atas jambatan dan mendapati seorang wanita hendak terjun dengan beberapa orang awam berusaha memujuknya.
"Saya mempraktikkan segala latihan yang telah diberikan oleh JBPM untuk menyelamatkan wanita tersebut," katanya kepada pemberita selepas menerima Sijil Penghargaan Khas daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M Noor Azman Taib di sini, hari ini.
Muhammad Syahir yang berasal dari Kedah, sudah 12 tahun menjadi anggota bomba dan kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, di George Town.
-- BERNAMA
#Hari Bomba #anggota bomba #selamatkan wanita #terjun jambatan
;