Anggota bomba maut terkena renjatan elektrik
Bernama
Julai 20, 2015 07:35 MYT
Julai 20, 2015 07:35 MYT
Seorang anggota bomba maut terkena renjatan elektrik ketika melakukan operasi memadamkan kebakaran belukar di Taman Kenari Batu 7, dekat sini, semalam.
Mangsa, Apolos Jeremos, 25, dari Kampung Entilibon, Tongod antara anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dihantar ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.59 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Haikal Jammy Ngali Abdullah berkata mangsa terkena renjetan elektrik daripada pendawaian disambung secara haram di kawasan rumah setinggan berhampiran taman perumahan itu.
Katanya mangsa tidak sedarkan diri selepas terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar Hospital Duchess di sini untuk dibedah siasat. Apolos menjadi anggota bomba sejak September 2011 dan meninggalkan isteri yang sedang hamil lima bulan.
Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab memasang pendawaian elektrik secara haram itu sehingga mengorbankan seorang anggota bomba.
"Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku dari wayar elektrik akibat penyambungan haram dari sebuah rumah pam ke rumah setinggan.
"Akibat kecuaian orang lain, anggota bomba saya telah terkorban. Saya merasa kecewa dan kesal kerana angkara perbuatan orang lain menyebabkan anggota bomba saya terkorban," katanya dalam laman Facebooknya malam semalam.