Anggota bomba maut motosikal terbabas di lebuh raya

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 14, 2020 11:48 MYT
Mohd Nor (gambar kecil) dipercayai mengantuk dan hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas dan jatuh ke kanan jalan. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang pegawai bomba maut dalam kemalangan jalan raya di kilometer 98.7 Lebuhraya Utara Selatan, dari arah Plaza Tol Sungai Petani Utara ke arah Plaza Tol Gurun pada jam 9 malam tadi.
Mangsa, Mohd Nor Faisal Ani, 38 tahun, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Pulau Pinang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kangar, Perlis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Shamsudin Mamat, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai mengantuk dan hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke kanan jalan.
Kejadian berlaku kira-kira 600 meter dari Plaza Tol Sungai Petani.
Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#bomba #kemalangan #maut #PLUS #Perlis #pulau pinang #Sungai Petani #Lebuhraya Utara Selatan #BBP Butterworth #Plaza Tol Sungai Petani #Shamsudin Mamat
;