Anggota bomba laung azan ketika padam kebakaran Wisma Jakel
Sinar Harian
Januari 1, 2023 06:15 MYT
Januari 1, 2023 06:15 MYT
SHAH ALAM: Laungan azan antara ikhtiar digunakan anggota bomba terlibat dalam usaha pemadaman Wisma Jakel di sini pada Ahad.
Pasukan Bomba Sukarela Gombak menerusi perkongsian Facebook memaklumkan, anggotanya yang terlibat berdepan pelbagai kesukaran dalam melakukan usaha pemadaman.
"Dah hampir lapan jam kami di Jakel Shah Alam, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan pihak bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
"Sudah empat atau lima orang anggota kami melaungkan azan, faktor angin kuat ditambah pula dalam kedai ini penuh barangan tekstil menyebabkan kerja-kerja pemadaman agak sukar dan memakan masa," katanya pada Ahad.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kerja pemadaman pada mulanya dijalankan melibatkan bangunan lima tingkat menempatkan gedung beli-belah tersebut.
"Pemadaman mula dijalankan pada jam 7.12 pagi melibatkan ruangan beli-belah di wisma tersebut.
"Api yang marak kemudiannya merebak ke bahagian bangunan bersebelahan melibatkan tempat penyimpanan atau stor barangan jualan yang meliputi kain, baju dan bahan untuk menjahit termasuk permaidani dan pakaian untuk majlis perkahwinan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, cabaran yang dihadapi anggota bomba adalah keadaan ruangan yang padat dengan barangan.
"Anggota menghadapi kesukaran untuk memasuki dalam bangunan yang padat dengan barangan.
"Kami kemudiannya terpaksa menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP), pemadaman dilakukan dari bahagian luar bangunan," katanya.
Menurutnya, api kemudian berjaya dikawal kira-kira jam 3 petang.
"Usaha pemadaman terus dijalankan dan api kemudian berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 5.12 petang," katanya.
Pada Ahad, Wisma Jakel yang menempatkan gedung jualan pakaian dan stor barangan terbakar dalam kejadian sekitar 7 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 7.08 pagi.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota serta aset dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Kota Anggerik, BBP Subang, BBP Kota Raja, BBP Damansara, BBP Sungai Pinang dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian. -Sinar Harian