Anggota bomba jatuh sungai ditemui lemas selepas 19 jam hilang

Astro Awani
Februari 23, 2024 21:54 MYT
Nor Hisham berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya. - Gambar JBPM
BUTTERWORTH: Mayat anggota bomba yang terjatuh ke dalam Sungai Perai semasa melakukan penyelenggaraan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) malam Khamis ditemui jam 5.32 petang Jumaat.
Jasad Mohd Izwan Illias,42 tahun ditemui pada jarak kira-kira radius 20 meter tidak jauh dari lokasi terakhir dia terjatuh.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya bersyukur akhirnya jasad anggota yang bertugas di Pasukan Penyelamat Bomba di Air (PPBA), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth itu ditemui selepas 19 jam operasi mencari digerakkan bermula jam 10.22 malam Khamis.
Katanya penemuan itu susulan tindakan mengecilkan skop pencarian hasil petunjuk anjing pengesan K9.
"Di peringkat awal dua ekor anjing pengesan K9 telah menunjukkan tanda keberadaan mangsa dalam radius 50 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
"Berdasarkan dapatan itu selain membaca pergerakan arus sungai dalam operasi (pagi tadi) kita telah mengecilkan skop pencarian satu kilometer (km) hilir ke 500m hulu kepada radius 100m hulu ke 300m hilir.
"Akhirnya selepas 19 jam salah seorang pasukan penyelamat menemui jasad mangsa dan pengesahan telah dibuat sebelum menaikkan mayat mangsa," katanya kepada media hari ini.
Nor Hisham berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
"Takziah kepada pihak keluarga dan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas yang terlibat dalam operasi ini," katanya.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, pihaknya mengklafikasikan Mohd Izwan terkorban ketika menjalankan tugasnya dan satu majlis istiadat penghormatan terakhir akan diadakan sebagai tanda menghargai komitmen Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam pasukan JBPM.
Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota bomba dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Perai semasa melakukan kerja penyelenggaraan bot kira-kira jam 10.10 malam Khamis.
Mohd Izwan yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth bersama seorang lagi anggota bomba hendak menambat bot berkenaan di jeti itu selepas melakukan pengujian enjin.
Mohd Izwan telah berkhidmat bersama jabatan kira-kira 19 tahun sejak 2005.
Bapa lima cahaya mata itu mempunyai keupayaan teknikal dalam bidang itu selepas berkhidmat di BBP Butterworth selama 13 tahun.
#keupayaan teknikal #JBPM #pengujuan enjin #lemas
;