Anggota bomba ditahan bersama 850 kg daun ketum

Adam Darwish
Oktober 30, 2022 15:08 MYT
Pakaian seragam bomba dan daun ketum dirampas oleh polis daripada anggota pasukan keselamatan yang ditahan di Kampung Rabbana, Jeli, Kelantan, pada Khamis lalu.
JELI: Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berusia 30 tahun ditahan bersama 850 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM8,500 dalam kejadian di Kampung Rabbana, di sini, pada Khamis lalu.
Ketika ditahan, suspek bersama rakannya yang berusia 36 tahun sedang memandu van berwarna merah yang tertera logo dan tulisan ‘Bomba’.
Difahamkan, anggota berusia terbabit lengkap memakai uniform jabatan manakala rakannya hanya memakai baju T biru berlogokan jabatan.
Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Ahmad Ariffin berkata, siasatan mendapati salah seorang yang ditahan merupakan anggota bomba manakala rakannya orang awam berpakaian sebagai anggota bomba.
Beliau berkata, kejadian mulai dikesan pada pukul 6.30 petang ketika van tersebut melalui sekatan jalan raya dari arah Grik ke Jeli dekat Kampung Rabbana, Jeli.
Beliau berkata selepas melihat van dipandu agak mencurigakan polis telah mengekori sehingga diberhentikan.
"Anggota polis kemudiannya mengekori van tersebut dan memberhentikan kenderaan di Kampung Rabbana untuk dibuat pemeriksaan.
"Pemeriksaan di dalam van menemui 85 bungkusan hitam berisi daun ketum di mana setiap satunya seberat 10 kg menjadikan jumlah keseluruhan adalah 850 kg," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli hari ini
Ahmad berkata, pemeriksaan ke atas suspek mendapati salah seorang adalah anggota JBPM manakala seorang lagi adalah orang awam tetapi memakai baju T milik JBPM.
Menurutnya, siasatan juga mendapati van yang digunakan didaftarkan atas nama Ketua Pengarah JBPM tetapi nombor casis tiada dalam sistem JPJLink manakala semakan ke atas nombor enjin didapati ada berkaitan kes dilaporkan hilang.
"Kedua-dua suspek yang ditahan reman bermula 27 Okt hingga 1 Nov untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 168 Kanun Keseksaan, Seksyen 171 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dadah dan dipercayai melakukan perbuatan tersebut beberapa kali menggunakan modus operandi sama sejak awal Okt dengan upah sebanyak RM3,000 satu trip," katanya.
#anggota bomba ditahan #daun ketum #Kampung Rabbana #Ketua Polis Daerah Jeli
;