Anggota bomba dipatuk ular kapak hijau
Bernama
Disember 17, 2021 19:44 MYT
Disember 17, 2021 19:44 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang anggota bomba cedera dipatuk ular kapak hijau di tangan kirinya ketika sedang bertugas dalam satu operasi menangkap ular di sebuah rumah di Kampung Baru Kerteh dekat Dungun pada 7.30 malam tadi.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata ketika kejadian Abdul Rahim Karim, 38, dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh sedang memasukkan reptilia itu ke dalam karung selepas berjaya menangkapnya di lokasi.
"Namun, taring ular itu yang panjang berjaya menembusi sarung tangan yang dipakai Abdul Rahim menyebabkan beliau terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman.
"Keadaannya dilaporkan stabil ketika ini dan kita harap beliau segera sembuh," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Tambahnya, semua anggota bomba sentiasa dinasihat agar mengutamakan keselamatan dan bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika sedang bertugas.
-- BERNAMA