Anggota bomba cedera ketika padam kebakaran di Sungai Buloh

Umavathi Ramayah
Disember 1, 2024 14:00 MYT
Anggota bomba dari BBP Batu Arang dan Sungai Buloh bersama 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja pemadaman. - Foto JBPM Selangor
SUNGAI BULOH: Seorang anggota bomba cedera ketika memadamkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah di kawasan perumahan Rancangan Rumah Murah Kuang, Sungai Buloh, dekat sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa, Mohd Nazri Hasan yang merupakan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang itu dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Mangsa katanya dibawa ke hospital berkenaan menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada pukul 7.06 malam.
“Anggota bomba dari BBP Batu Arang dan Sungai Buloh bersama 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja pemadaman.
“Kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 12.26 tengah malam Ahad, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, kejadian itu menyebabkan tiga buah rumah masing-masing musnah 70, 80 dan 100 peratus.
#kebakaran Sungai Buloh #anggota bomba cedera #Rancangan Rumah Murah Kuang #JBPM
;