Anggota bomba cedera digigit beruang selamat jalani pembedahan

Adie Sufian Zulkefli
Februari 3, 2023 22:56 MYT
Keadaan Mohd Nizam Hamid, 27, bertambah baik selepas menjalani pembedahan pada pagi Jumaat. - Foto ihsan JBPM
SUNGAI PETANI: Anggota bomba bantuan yang cedera ketika cuba menangkap beruang matahari yang tersesat di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah dekat Sungai Limau Yan, pada Khamis kini dalam keadaan stabil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan, PPgB Noorhamidi Ali, berkata keadaan Mohd Nizam Hamid, 27, bertambah baik selepas menjalani pembedahan pada pagi Jumaat.
“Saya menziarah mangsa petang tadi dan kini keadaannya bertambah baik selepas jalani pembedahan bagi merawat kecederaan pada salur darah tangan kirinya.
“Bagaimanapun mangsa yang ditemani isterinya masih dalam pemantauan pihak Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan masih belum dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Dalam kejadian semalam, seorang anggota bomba bantuan cedera di tangan kiri selepas digigit beruang matahari ketika cuba menangkap haiwan terbabit menggunakan tali di kawasan sawah.
Beruang matahari betina seberat 90 kilogram itu berjaya ditangkap pada jam 1 tengah hari dan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.
Menurut Perlihitan beruang matahari itu dipercayai tersesat dari habitat asalnya di Gunung Jerai lalu berkeliaran di dalam kawasan sawah padi berdekatan.
#anggota bomba bantuan #cedera digigit beruang matahari #Kampung Kabu Sepuluh #Mohamad Nizam Hamid
;