Anggota bomba cedera dalam kebakaran kilang di Sungai Petani
Adie Sufian Zulkefli
Januari 17, 2023 09:45 MYT
Januari 17, 2023 09:45 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang anggota bomba cedera apabila dihempap timbunan kertas ketika melakukan pemadaman api di sebuah kilang kertas di Taman Perindustrian Ria Jaya, Sungai Petani, pada Selasa.
Pengarah Bomba Negeri Kedah, Sayani Saidon berkata, mangsa turut melecur pada bahagian kaki dan leher akibat terbelit tali alat pernafasan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk rawatan lanjut.
Menurut Sayani Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima laporan kejadian jam 5.18 pagi berlaku kebakaran di sebuah kilang dipercayai memproses kertas.
“Pegawai dan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Aman Jaya dan Sungai Petani bersama jentera Water Tanker dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba api sedang marak dan Pegawai Operasi telah mengarahkan kerja pemadaman segera dilakukan dengan menggunakan beberapa hala pancutan air.
“Api marak dengan cepat berikutan terdapat bahan mudah bakar di dalam kilang terbabit dan kerja pmadaman sedang dilakukan ketika ini,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kepulan asap dapat dilihat sejauh satu kilometer.
Kerja pemadaman masih dilakukan berikutan terdapat bahan mudah terbakar di dalam kilang terbabit.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.