Anggota bomba cedera akibat kemalangan - Badan bertindak kuil
Hilal Azmi
November 28, 2018 14:51 MYT
November 28, 2018 14:51 MYT
Badan bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa anggota bomba yang cedera dalam insiden rusuhan berhadapan kuil berkenaan awal pagi Isnin adalah disebabkan kemalangan jalan raya.
Setiausaha Badan Bertindak Kuil, V K Regu mendakwa, kejadian dipercayai berlaku akibat kemalangan membabitkan jentera bomba yang mengundurkan kenderaannya dengan laju sebelum sekumpulan individu menjerit memberitahu ada seseorang di belakang.
“Tindakan mereka mengetuk cermin adalah untuk memberitahu ada seseorang di belakang namun jentera bomba berkenaan mengundur dengan laju.
“Dia (Muhammad Adib) bukan dipukul, malah kami yang berada di situ membantu mengeluarkannnya,” katanya pada sidang media di Kuil Sri Maha Mariamman pada Rabu.
Ketika ditanya samada laporan dakwaan berkenaan telah dihantar kepada pihak berkuasa, beliau memberitahu ianya belum dihantar.
“Kami sudah beritahu kepada kementerian, kami juga baru dapat tahu, setakat ini tidak membuat laporan kerana tidak ada kena mengena dengan pihak kuil.
“Mereka (kumpulan yang berkumpul) menunjukkan teladan yang baik kami bantu mereka, tapi kami yang diserang,” dakwanya lagi.
Dalam kejadian pada awal pagi semalam seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu.
Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.
#anggota bomba
#EMRS
#insiden rusuhan
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#JBPM Selangor
#kemalangan
#kuil
#kuil sri maha mariamman
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#V K Regu