Anggota badan Cikgu Istiqomah belum ditemui sepenuhnya - Polis
Shuhada Abdul Kadir
Ogos 12, 2024 14:55 MYT
Ogos 12, 2024 14:55 MYT
ALOR GAJAH: Polis masih mengesan beberapa bahagian anggota badan guru wanita Istiqomah Ahmad Rozi,33, yang dipercayai dibunuh dan dikerat oleh bekas teman lelakinya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata setakat ini beberapa anggota termasuk badan dan kepala yang ditemui dibuang di longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini, telah selesai dibedah siasat.
“Proses bedah siasat semua sudah selesai setakat ini, namun ada anggota badan yang masih belum dijumpai.
“Setakat ini jenazah belum dapat dikeluarkan oleh pihak hospital kerana ada beberapa prosedur yang belum selesai dan pihak polis akan memaklumkan sebaik sahaja jenazah boleh dituntut ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi.
Astro AWANI hari ini melaporkan misteri penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini 31 Disember lalu terjawab apabila ia disahkan milik guru wanita Istiqomah Ahmad Rozi.
Ashari berkata, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibu mangsa pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Menurutnya, risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri, masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.
Suspek lelaki yang juga bekas guru itu kemudian direman sejak 6 Ogos lalu sebelum dilanjutkan tujuh hari lagi hingga 19 Ogos ini.
Penahanan suspek utama itu membawa kepada penemuan beberapa bahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar 6 kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai.