Anggota Asean sedia kongsi maklumat risik tangani keganasan militan - Hishammuddin
Bernama
Oktober 16, 2015 18:21 MYT
Oktober 16, 2015 18:21 MYT
Kesemua 10 negara anggota ASEAN secara kolektif menyatakan kesediaan mereka untuk menangani ancaman daripada kumpulan militan IS, termasuk berkongsi maklumat risik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata perkongsian maklumat risik merupakan perkara penting dan ia melibatkan insiden yang mungkin berlaku setiap minggu.
Katanya kerjasama seperti itu penting bagi mengetahui punca pengeboman di Bangkok, siapa yang terlibat dan bagaimana ia mungkin boleh menular ke negara lain di rantau ini.
"Tumpuan turut diberi kepada IS dan bagaimana warga negara kita sendiri di tiap-tiap negara di Asean buat perjalanan ke Iraq atau Syria.
"Lebih penting lagi apa akan berlaku apabila mereka kembali ke rantau kita, tidak semestinya negara asal tetapi mungkin kembali ke kawasan yang boleh menerima militan di rangkaian tertentu di rantau ini," katanya.
Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan China-ASEAN (10+1) yang bertujuan mempertingkatkan hubungan strategik dan kerjasama pragmatik antara China dan ASEAN, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan China Chang Wanquan.
Hishammuddin berkata 10 menteri pertahanan ASEAN sedar bahawa kumpulan militan bukan ancaman keselamatan yang mudah di bawah tanggungjawab polis, sebaliknya merupakan ancaman pertahanan negara yang memerlukan penglibatan secara kolektif.
Beliau berkata perkara itu yang dibincang di peringkat ASEAN turut dikongsi dengan China dan negara tembok besar itu menyatakan pendiriannya untuk turut bersama 10 negara ASEAN menangani keganasan.
Katanya pertikaian wilayah dan maritim khususnya di Laut Cina Selatan turut dibangkitkan dan negara ASEAN bersetuju mencari penyelesaian secara bijaksana.
Dalam konteks Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Hishammuddin mengingatkan semua pihak bahawa tugas menteri pertahanan adalah memastikan tidak ada situasi di tahap meledak atau insiden tidak disengajakan, berlaku antara pengawal keselamatan, tentera laut dan udara.
"Ini semua tugas menteri pertahanan ASEAN supaya insiden tidak berlaku sampai tidak dapat dibendung. Saya tengok ini dapat diterima baik oleh semua pihak dalam menunggu penyelesaian melalui saluran diplomasi," katanya.
Hishammuddin, yang juga Pengerusi ADMM, berkata layanan China kepada 10 negara anggota ASEAN itu membuktikan entiti secara kolektif dihormati dan tidak ada kepentingan geopolitik menjejaskan kepentingan, kedaulatan serta maruah.
Selain China, katanya, 10 negara anggota ASEAN turut mendapat perhatian apabila menerima surat jemputan daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Ash Carter untuk menghadiri mesyuarat.
Mengenai kapal Tentera Laut China yang sering memasuki perairan Sarawak, Hishammuddin berkata aktiviti mereka sentiasa di bawah pemantauan pihak berkuasa Malaysia.
"Jangan ingat Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia tidak tahu. Tetapi hubungan erat Malaysia dengan China, kita boleh cari jalan penyelesaian secara bersemuka," katanya.