Anggota AADK Pulau Pinang cedera diseret ketika tahan penagih

Dewi Nur Harasha Alias
April 25, 2021 13:24 MYT
Gambar kiri, kecederaan yang dialami anggota AADK yang diseret motosikal penagih dadah. Gambar kanan, sebahagian dari 21 penagih dadah yang ditahan dalam Op Cegah pada Jumaat. - Foto AADK
BUKIT MERTAJAM: Seorang anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang cedera sewaktu menahan seorang penagih dadah yang cuba melarikan diri dalam operasi yang dijalankan agensi itu semalam.
Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung, berkata, anggota lelaki berusia 26 tahun itu cedera di lengan kanan selepas diseret suspek penagih dadah yang melarikan diri dengan motosikal.
Kejadian berlaku ketika anggota berkenaan cuba menahan seorang suspek lelaki berusia 28 tahun di sebuah lokasi pembelian judi secara dalam talian di Bukit Mertajam.
"Suspek yang sedang menunggang motosikal cuba memecut dan mengakibatkan anggota AADK yang ingin menahannya terjatuh dan terseret sehingga menyebabkannya tercedera.
"Bagaimanapun, suspek gagal melarikan diri dan berjaya ditahan. Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati dia positif dadah jenis Syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, anggota yang cedera itu kemudiannya pergi mendapatkan rawatan di klinik.
Seramai 21 penagih dadah berusia 19 hingga 41 tahun ditahan dalam Op Cegah yang diadakan selama dua hari bermula 7 pagi Jumaat di sekitar Kubang Semang, dan Kuala Muda Penaga, Kepala Batas.
Dalam pada itu, ujian saringan air kencing terhadap kesemua individu lain yang ditahan juga didapati positif dadah.
“Kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
#Elmariah Chung #AADK Pulau Pinang #AADK #pulau pinang #cedera #penagih dadah #judi #Bukit Mertajam #motosikal #diseret #Op Cegah #Kepala Batas
;