Anggaran awal: Ekonomi Malaysia diunjur tumbuh 5.8 peratus - DOSM

Harits Asyraf Hasnan
Julai 19, 2024 12:30 MYT
Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran STR Fasa 2 pada April 2024. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Itu anggaran awal yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini di mana pertumbuhan yang dicatatkan itu adalah yang tertinggi semenjak suku keempat 2022 (7.4%).
Bagi separuh pertama tahun 2024, KDNK meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurut DOSM, ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024.
Tambahan lagi, sejumlah RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 (Akaun fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek.
"Anggaran pertumbuhan yang dicatatkan pada suku kedua ini adalah sejajar dengan indikator terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian yang masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus pada April dan Mei 2024 berbanding tahun sebelumnya.
"Sementara itu, nilai jualan borong dan runcit meningkat 6.6 peratus pada April dan 7.1 peratus pada Mei berdasarkan asas tahun ke tahun.
"Bagi sektor luaran, jumlah perdagangan, eksport dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Uzir berkata prestasi ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor perkhidmatan, dengan hampir semua sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.
#ekonomi #DoSM #Mohd Uzir Mahidin #KWSP
;