Anggap rumah sebagai 'kubu' daripada ancaman COVID19 - KPN
Hakim Rahman
Mac 21, 2020 15:46 MYT
Mac 21, 2020 15:46 MYT
Orang ramai dinasihat tidak mengambil kesempatan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih lagi menggunakan budi bicara dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan penguatkuasaan adalah jalan terakhir yang akan diambil pihaknya sekiranya masyarakat masih tidak patuh dengan perintah untuk duduk di rumah.
"Ancaman (COVID19) di luar ini real, kita anggaplah rumah kita ini sebagai kubu, hanya boleh tinggalkan kubu (rumah) apabila perlu.
"Contohnya, kalau tidak keluar rumah tidak dapat makan, keluar rumah untuk mendapatkan rawatan saja kita boleh tinggalkan kubu kita," katanya dalam temubual di Buletin AWANI Khas pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hanya sebilangan individu yang bekerja dalam sektor perkhidmatan penting seperti pembersihan, penyiaran, perubatan, makanan diberikan kelonggaran dibawah Perintah Kawalan Pergerakan.
Menurut Abdul Hamid, pekerja-pekerja dalam perkhidmatan penting (essential services) ini perlu mendapatkan surat membuktikan mereka adalah kakitangan yang perlu menjalankan tugas.
"Mereka telah diingatkan untuk beri surat rasmi bahawa pembawa surat ini adalah staf atau pekerja yang menjalankan tugas disamping perlu membawa pas kerja untuk ditunjukkan kepada petugas sekiranya ditahan," katanya lagi.