Anggap pembukaan sektor ekonomi sebagai tanggungjawab, jangan salah guna - Nanta

Bernama
Ogos 15, 2021 20:30 MYT
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia perlu diambil sebagai satu tanggungjawab yang harus dipikul sebaik-baiknya dan bukan kebebasan yang boleh disalah guna. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pengumuman pembukaan sektor ekonomi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini perlu diambil sebagai satu tanggungjawab yang harus dipikul sebaik-baiknya dan bukan kebebasan yang boleh disalah guna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 perlu menjadi keutamaan selain memastikan hanya individu yang menerima dua dos suntikan vaksin dibenar memasuki premis perniagaan.
Justeru, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyeru semua masyarakat dan peniaga agar memastikan diri sendiri, ahli keluarga dan pekerja mereka lengkap menerima suntikan vaksin selain mematuhi SOP demi kesihatan, keselamatan, kelangsungan ekonomi serta perniagaan.
"KPDNHEP yakin sikap matang dan bertanggungjawab semua pihak ini akan memastikan situasi pandemik COVID-19 bertambah baik," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
BACA: Fasa 1 PPN: Kerajaan setuju buka 11 sektor ekonomi mulai 16 Ogos
BACA: Fasa 2 PPN: 11 lagi sektor ekonomi dibuka pada 16 Ogos - PM Muhyiddin
Perdana Menteri mengumumkan bahawa berkuat kuasa esok, 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi di negeri-negeri yang diletak dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara.
Nanta juga berkata pihaknya menyambut baik pengumuman itu dan akan memastikan pemain industri mematuhi setiap arahan yang ditetapkan selain mengarahkan pegawai penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemantauan serta pemeriksaan setiap hari bermula esok.
Katanya KPDNHEP telah menghubungi hampir semua pemain industri melalui persatuan dan akan menawarkan khidmat nasihat bagi membolehkan mereka membuka semula perniagaan.
-- BERNAMA
#pembukaan sektor ekonomi #Alexander Nanta Linggi #SOP #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #KPDNHEP
;