Anggap kritikan sebagai ujian kewibawaan Latheefa - Mat Sabu

Afiq Ariffin
Jun 7, 2019 18:23 MYT
Latheefa telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli PKR berkuat kuasa 3 Jun, sebaik dimaklumkan mengenai pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. - Foto SPRM
Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menerima kritikan dan pandangan berbeza pelbagai pihak perlu diterima dengan positif.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata beliau yakin sekiranya prestasi Latheefa, yang dilihat sebagai seorang yang berintegriti dan berwibawa, tidak memenuhi hasrat pengkritik, perdana menteri akan membuat penilaian semula
"Pelantikan Latheefa mengundang pelbagai kritikan dan pandangan terutama daripada peringkat dalaman Pakatan Harapan (PH).
"Saya berkeyakinan penuh Dr Mahathir mengambil perhatian tentang cara pelantikan dan menjadikan kritikan serta pandangan tersebut sebagai satu ujian kepada kewibawaan Latheefa untuk menjalankan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pelantikan Latheefa berkuat kuasa 1 Jun lalu, bagi menggantikan Datuk Seri Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak dua tahun beliau lebih awal sebelum tamat pada 17 Mei 2020.
Mohamad berkata beliau yakin Dr Mahathir akan mengambil kira segala kritikan terhadap keputusan yang dibuat beliau itu, atas prerogatifnya sebagai perdana menteri.
"Saya juga penuh yakin perdana menteri akan mendengar kritikan-kritikan terhadap keputusannya dan akan menilai prestasi Latheefa dari masa ke semasa.
"Dan jikalau prestasi Latheefa tidak memenuhi hasrat para pengkritik, saya yakin perdana menteri akan membuat penilaian semula," tegasnya.
BACA: Pelantikan Latheefa lalui prosedur betul - Muhyiddin Yassin
BACA: Beri ruang PM jelaskan lantikan Latheefa Koya sebagai KP SPRM - Anwar
Susulan pelantikan Latheefa yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Jun lalu, timbul dakwaan mengatakan ia tidak menepati manifesto Pakatan Harapan (PH) memandangkan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) yang merupakan seorang peguam itu, adalah ahli PKR.
Bagaimanapun, pada hari sama, Latheefa memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli PKR berkuat kuasa 3 Jun, sebaik dimaklumkan mengenai pelantikan tersebut.
BACA: Majoriti tidak pertikai kelayakan Latheefa, cuma isu proses - Hanipa
BACA: 'PM punya kuasa veto, tak perlu rujuk Kabinet'
Sementara itu, Penasihat LFL, N. Surendran turut mengesahkan Latheefa telah meletak jawatan sebagai Pengasas Bersama dan Pengarah LFL.
Sebaliknya, Mohamad berpendapat, "keadaan ini akan menjadi kelegaan kepada kerajaan PH yang cuba memperbaharui segala bentuk tindakan dan persembahan pemerintahannya kepada masyarakat dan negara."
BACA: "Saya bukan lagi ahli PKR" - Latheefa Koya
BACA: "Saya akan jadikan Malaysia alah rasuah" - Latheefa Koya
#ahli politik #kabinet #kerajaan #lantikan awam #Latheefa Beebi Koya #Mahathir Mohamad #Manifesto #Mohamad Sabu #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #politik #Rasuah #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #ujian kewibawaan
;