Ang Chin Tat dilantik Naib Pengerusi PN Selangor
Astro Awani
Februari 22, 2021 14:53 MYT
Februari 22, 2021 14:53 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) Selangor secara rasminya menyertai Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Selangor pada Ahad.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyertaan itu merupakan penglibatan sulung Gerakan di peringkat negeri selepas parti itu menjadi anggota PN di peringkat nasional pada 11 Februari lepas.
Menurut beliau, mesyuarat juga sebulat suara melantik Pengerusi Gerakan Selangor, Datuk Ang Chin Tat sebagai Naib Pengerusi PN Selangor.
“Penyertaan Gerakan ke dalam Perikatan Nasional adalah amat signifikan untuk memperkukuh citra Perikatan Nasional dan membuktikan dasar Perikatan Nasional yang inklusif dan meraikan kepelbagaian.
“Saya yakin dasar ini akan memperkukuh usaha Perikatan Nasional untuk menggembleng penyertaan dan dukungan rakyat khususnya generasi milenial.
“Perikatan Nasional juga beriltizam untuk mendakap paradigma baru dalam perjuangan rakyat dan menyuntik dinamisme baru kepada politik yang berteraskan nilai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Azmin, pihaknya juga mengambil ketetapan untuk memperkukuhkan kerjasama yang sedia ada dan melangkah maju sebagai satu kekuatan dalam PRU-15 dan pasca pilihan raya.
“Perikatan Nasional Negeri Selangor akan memberikan fokus kepada usaha merencana dan melaksanakan dasar dan kebijakan demi menghasilkan kemakmuran serta keadilan sosial.
“Sebagai sebuah kerjasama politik, Perikatan Nasional bertekad untuk memartabatkan jati diri bangsa Malaysia sekali gus meraikan kepelbagaian bahasa, kaum dan agama sebagai kesatuan yang utuh dan dinamik,” ujarnya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Gerakan secara rasmi telah diterima menyertai anggota terbaharu PN.
Perkara itu disahkan Presiden Gerakan Datuk, Dominic Lau Hoe Chai pada Astro AWANI.
Dominic berkata, sebagai sebuah parti yang bukan berasaskan perkauman, Gerakan akan terus konsisten dalam memainkan peranan memfokuskan prinsip demokrasi di negara ini.
#GERAKAN
#Azmin Ali
#Ang Chin Tat
#Perikatan Nasional
#PN
#pilihan raya
#politik
#presiden
#Astro Awani
#PRU15
#Selangor
#PN Selangor