‘Android box’ masih aktif ratah kandungan halal

Hilmi Malik
November 27, 2023 18:08 MYT
Masih wujud syarikat terkemuka yang menggunakan 'android box' untuk meraih keuntungan. - Gambar geekbuying
KUALA LUMPUR : Pelaksanaan operasi secara berkala termasuk kempen kesedaran seakan tidak mendatangkan kesan terhadap pengguna ‘android box’ yang memilih untuk menjarah apa sahaja kandungan secara haram.
Penjual juga akan menggunakan apa sahaja helah dan platform yang ada untuk menjual produk mereka, dari kaunter secara terbuka sehinggalah secara dalam talian bagi tujuan mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Biarpun ada sahaja pendakwaan di mahkamah dan berpuluh orang sudah didapati bersalah, perompak dan pengguna ‘android box’ terus rakus meratah karya dan hak cipta penerbit tanpa rasa bersalah, semuanya kerana memikirkan untung sendiri.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa kawasan di ibu kota juga yang menyasarkan beberapa premis perniagaan terutamanya restoran mendapati masih ramai pemilik yang galak menayangkan kandungan haram ataupun menggunakan akaun peribadi untuk tayangan di premis komersial mereka.
Ramai juga antara mereka yang mengakui tidak tahu bahawa penggunaan akaun peribadi Astro di premis perniagaan adalah satu kesalahan. Malah tidak kurang juga yang menggunakan peranti itu untuk menghidangkan pelbagai kandungan haram kepada pelanggan mereka.
Tinjauan yang dibuat bersama pihak berkuasa ini sedikit sebanyak ‘membuka mata’ golongan peniaga yang menggunakan akaun peribadi untuk tontonan ramai di premis perniagaan.
Soal tindakan undang-undang terus dipandang enteng kerana terlalu sibuk memikirkan keuntungan dan akhirnya memilih jalan pintas menayangkan kandungan haram melalui ‘android box’.
Bagi pelanggan, dari mana sumber tontonan yang ditayangkan bukan kebimbangan mereka kerana yang bakal terima padah adalah pemilik perniagaan.
Ada pemilik perniagaan yang beranggapan 'tayanglah apa sahaja, janji ada pelanggan mahu bertandang ke kedai’ tanpa menyedari bahawa mereka boleh dikenakan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah menjarah kandungan secara haram.
Pencabulan hak cipta kandungan ini bukan hanya dalam kalangan pemilik restoran, tetapi ada juga pengusaha hotel bertaraf lima bintang yang mengambil peluang untuk mendapatkan siaran haram sebagai santapan kepada penghuni kemudahan mereka.
Walaupun gah namanya, realitinya tidak menghalang mereka untuk mencabul hak pencipta kandungan demi mengaut untung yang lebih.
Keselesaan itu hakikatnya hanya sementara kerana jika mereka tertangkap, selain daripada berdepan hukuman, ia secara tidak langsung akan memusnahkan reputasi syarikat kerana menyediakan kandungan yang dirompak daripada mereka yang berhak.
Peranti yang hanya menggunakan rangkaian internet itu membuatkan penonton tidak perlu melanggan saluran berbayar sebaliknya boleh diperoleh secara percuma.
Sebelum ini, penggiat industri seni juga sudah lantang menyuarakan isu berkenaan kerana ia sememangnya berpotensi untuk menjejaskan karya-karya penggiat seni.
Ini termasuk gesaan untuk memperkasa dan memperluaskan lagi tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab meratah kandungan secara haram.
Dari aspek undang-undang, seseroang yang menjual peranti penstriman haram boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 41(1)(HA) Akta Hak Cipta 1987 kerana menjual teknologi atau alatan untuk memintas perlindungan teknologi.
Jika didapati bersalah, denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 boleh dikenakan serta penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, dari sisi hukum agama juga pernah dinyatakan sebelum ini bahawa membeli peranti tersebut dengan niat untuk menonton saluran yang sepatutnya dibayar dan mahu mendapatkan secara percuma telah ditafsirkan sebagai haram.
Ia jelas diterangkan dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-649: Hukum Membeli dan Menggunakan Android Box yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 24 November 2021.
"Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus.
‘"Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ia adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain," jelas fatwa berkenaan.
#industri seni #penstriman haram #android box #kandungan haram
;