Anda sedar mengenai Clubhouse, mungkin bakal menjadi trend baharu di Malaysia?
Agensi
Februari 10, 2021 13:09 MYT
Februari 10, 2021 13:09 MYT
KUALA LUMPUR: Dilabel sebagai antara perkara besar seterusnya dalam media sosial, aplikasi daripada Silicon Valley yang dipanggil Clubhouse nampaknya mula mendapat perhatian di Malaysia sejak dua minggu lepas.
Diasaskan Paul Davison dan Rohan Seth pada Mac 2020, aplikasi itu sudahpun bernilai sekitar AS$100 juta (RM405 juta) walaupun hanya memiliki 1,500 pengguna pada waktu itu.
Namun hari ini ia mempunyai enam juta pengguna berdaftar hingga kini, meningkat daripada 600,000 pada bulan Disember dengan lebih daripada 180 organisasi dan syarikat meneroka dan melabur dalam aplikasi tersebut.
Apa itu Clubhouse?
Secara dasarnya, ia adalah aplikasi media sosial berasaskan audio, daripada apa yang dikatakan pembuatnya, ia membolehkan orang dari setiap pelusuk di dunia bercakap, bercerita, mengembangkan idea, mengeratkan persahabatan dan bertemu orang baru.
Pada asasnya, ia juga seperti perbualan gaya podcast kecuali pengguna dapat berinteraksi secara real time dengannya dan mempunyai komunikasi dua hala menggunakan pembesar suara dengan peserta.
Anda juga dapat mengetahui lebih lanjut latar belakang peserta dalam beberapa saat dengan hanya mengklik profil mereka yang muncul di ruang perbincangan dan membaca biodata mereka.
Dari situ, ia membantu anda memutuskan sama ada anda mahu berhubung dengan mereka atau tidak, lapor Malay Mail.
Aplikasi ini pada dasarnya seolah-olah meniru interaksi kehidupan sebenar.
Anda boleh masuk dan keluar dari ruang sembang yang berbeza, pada subjek yang berbeza, sesuatu yang serupa dengan podcast "live" malah anda juga boleh memilih untuk tetap menjadi pemerhati senyap.
Dalam istilah awam, aplikasi sosial ini sama seperti Twitter, Zoom, Spotify dan LinkedIn anda namun digabungkan menjadi satu.
Menariknya, aplikasi ini masih boleh beroperasi ketika anda menggunakan aplikasi lain di telefon anda, itu yang menjadikan aplikasi ini berbeza.
Begitupun, salah satu peraturan utamanya adalah pengguna dilarang membuat rakaman, bermakna anda tidak dapat merakam sesi yang sedang berlangsung dan tidak ada pilihan menyimpan.
Di Malaysia, beberapa orang ternama termasuk menteri dan selebriti dilihat sudah mula menggunakan aplikasi tersebut.
Antaranya, Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Kelihatan menarik pada keseluruhannya namun anda tidak boleh menyertai Clubhouse tanpa jemputan.
Sekiranya anda pengguna iPhone, anda boleh memuat turun aplikasi dan mencipta nama pengguna sehingga pengguna sedia ada yang mencalonkan dua orang dan memutuskan untuk memberi jemputan kepada anda.
Namun aplikasi itu nampaknya merancang untuk berkembang ke masyarakat umum tidak lama lagi.
Mereka mengatakan ia belum dilakukan kerana dua sebab; mahu membina komuniti dengan perlahan dan menyediakan ciri-ciri yang akan membantunya menangani lebih banyak orang di aplikasi.
#aplikasi
#Clubhouse
#Khairy Jamaluddin
#KJ
#iPhone
#Twitter
#media sosial
#Amirudin Shari
#trending