'Anda gagal tangani perubahan iklim' - tamparan hebat kepada pemimpin dunia
Harits Asyraf Hasnan
September 23, 2019 06:10 MYT
September 23, 2019 06:10 MYT
Isu perubahan iklim yang mendepani global ketika ini menjadi satu tamparan hebat kepada para pemimpin yang mula berkampung di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-74.
Cabaran global yang semakin kritikal dilihat menjadi punca PBB menganjurkan Sidang Kemuncak Perubahan Iklim seiring Perhimpunan Agungnya.
Sejumlah 16 kanak-kanak pada Isnin memfailkan aduan rasmi hak asasi manusia berkenaan krisis iklim kepada Jawatankuasa Hak Asasi Kanak-Kanak PBB.
Greta Thunberg, aktivis dari Sweden yang cukup terkemuka dengan kempen perubahan iklimnya mengetuai 16 kanak-kanak yang lain dari Argentina, Brazil, Perancis, Jerman, India, Kepulauan Marshall, Nigeria, Palau, Afrika Selatan, Tunisia dan Amerika Syarikat - menyampaikan isi hati dan hasrat mereka untuk menjadikan dunia lebih baik.
“Nama saya Greta Thunberg. Saya berusia 16 tahun dan saya lakukan ini kerana pemimpin dunia gagal melindungi hak kanak-kanak apabila terus tidak mempedulikan krisis iklim dan ekologi.
“Apa yang ingin saya lakukan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan perhatian berkenaan krisis ini, dan ingin saya ingatkan bahawa 30 tahun lalu, anda (pemimpin dunia) menandatangani Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak dan pemimpin dunia gagal mengotakan janji mereka. Mereka berjanji untuk melindungi hak kami, tapi mereka tidak melakukannya,” katanya.
Pemfailan aduan itu dibuat selepas Thunberg meluahkan rasa kesal yang diiringi air mata kepada pemimpin dunia atas sikap kepentingan diri dan kekayaan semata-mata.
“Anda telah merampas impian saya dan kanak-kanak yang lain dengan kata-kata kosong, dan saya adalah salah seorang daripada mereka.
“Rakyat menderita, di penghujung nyawa. Seluruh ekosistem kian musnah.
"Kita kini di puncak kemusnahan, dan anda (pemimpin dunia) hanya bercakap soal wang, dan cerita dongeng berkenaan pembangunan ekonomi,” katanya di hadapan pemimpin dunia sempena Sidang Kemuncak Perubahan Iklim di PBB pada Isnin.
Antara pemimpin dunia yang hadir pada sidang kemuncak itu adalah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Canselor Jerman, Angela Merkel; Perdana Menteri Britain, Boris Johnson; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Menjelang sidang kemuncak itu juga, beberapa siri tunjuk perasaan menggesa tindakan segera pemimpin dunia turut berlangsung di sekitar kota raya ini.
Dengan suhu dunia yang semakin meningkat, Thunburg menggesa para pemimpin dunia untuk bingkas sedar dan bertindak segera bagi menyelamatkan dunia serta masa depan penduduknya.
#Angela Merkel
#cabaran global
#Donald Trump
#Greta Thunberg
#Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak
#MahathirUNGA
#Narendra Modi
#PBB
#perubahan iklim
#sidang kemuncak
#Sidang Kemuncak Perubahan Iklim
#UNGA