Ancom Crop Care tawar peralatan untuk laksana pertanian tepat
Irwan Muhammad Zain
September 20, 2023 22:17 MYT
September 20, 2023 22:17 MYT
KUALA LUMPUR: Ancom Crop Care Sdn Bhd (ACC) berharap dapat memainkan peranan penting dalam pertanian tempatan dengan menyediakan peralatan kepada petani di negara ini untuk melaksanakan pertanian tepat.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) ACC, Anthony Tan, pertanian tepat mempunyai banyak faedah seperti membolehkan petani menggunakan sukatan baja yang betul pada masa yang sesuai untuk tanaman, mengawal pembaziran dan membantu alam sekitar.
“Pertanian tidak semudah dahulu. Terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira untuk hasil,” katanya.
Disebabkan itu jelasnya, ACC akan menawarkan dua jenis perisian yang dibuat dengan kerjasama kumpulan perlindungan tanaman dan baja Jerman HELM AG kepada petani tempatan untuk memudahkan proses pertanian mereka: SKYFLD dan Plantix.
"SKYFLD membenarkan ACC mengimbas koordinat sawah padi petani tempatan menggunakan satelit Sentinel. Melalui imbasan ini, ACC boleh menentukan kesihatan padi menggunakan formula untuk mengira panjang gelombang cahaya.
"Daun yang lebih sihat pada tanaman padi memantulkan lebih banyak cahaya inframerah dekat (NIR)," jelasnya.
Ketua Jualan ACC, Hii Yii Seng pula menjelaskan, Plantix adalah aplikasi mudah alih yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pengecaman imej untuk mengenal pasti penyakit tumbuhan, perosak dan kekurangan nutrien.
“Ini akan memastikan petani akan menggunakan racun perosak dan baja yang betul dan akan ada penjimatan selain tiada pembaziran,” katanya.
Ujar beliau, pertanian tepat menggalakkan konsep utama untuk beralih daripada pengalaman dan ke arah fakta boleh diukur melalui teknologi yang akan meningkatkan standard.
Katanya, petani muda sering kekurangan pengalaman untuk mengenal pasti isu dan penyelesaian apabila ia melibatkan sesuatu yang kompleks seperti pertanian.
“Dengan pertanian tepat, kami percaya kami boleh membantu petani meningkatkan hasil dan keuntungan mereka, meminimumkan sisa dan membantu alam sekitar menjadi lebih hijau,” katanya.
Awal bulan ini, agensi penyelidikan dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara, Mimos mengumumkan bahawa mereka bekerjasama dengan HELM AG dan rakan kongsi tempatannya, kumpulan pembuatan kimia Ancom Nylex Berhad, untuk menggunakan penyelesaian pertanian digital melalui platform yang dipanggil SKYFLD.
Mimos, HELM AG dan Ancom Nylex akan berkongsi kepakaran mereka dan melancarkan fasa perintis tempatan untuk memastikan jaminan kualiti merentas tanaman, wilayah, antara kriteria lain di seluruh negara.