Ancaman terhadap keselamatan Sabah sudah merebak ke pantai barat - Zahid Hamidi

Bernama
Mac 5, 2016 12:34 MYT
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2016 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa ancaman terhadap keselamatan yang sebelum ini terhad di kawasan pantai timur Sabah kini sudah merebak ke kawasan pantai barat negeri ini.
"Dahulu, ancaman hanya di pantai timur Sabah, tetapi kawalan keselamatan cukup ketat setakat ini di pantai timur. Cabaran keselamatan di Sabah ini bukan hanya di pantai timur Sabah ia telah merebak ke pantai barat.
"Maklumat risikan mendapati bahawa telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan yang telah dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah. Ini bukan soal main-main. Soal keselamatan bukan main-main. Ini soal ancaman sebenar dalam negara," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2016 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan Musa turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah (SASSREC), UMS.
Berdasarkan perkembangan berkenaan kata Ahmad Zahid, operasi keselamatan di darat, di laut dan udara juga tidak lagi terhad di kawasan pantai timur Sabah semata-mata tetapi turut diperhebatkan di kawasan pantai barat negeri berkenaan.
Justeru, Ahmad Zahid mahu supaya pertahanan menyeluruh atau 'handruh' yang melibatkan kerjasama seluruh lapisan rakyat dan anggota pasukan keselamatan perlu diberi roh, suntikan baharu dan kesinambungan bagi memastikan tidak seincipun bumi negara ini khususnya di Sabah diceroboh mana-mana pihak.
"Biarpun keberadaan polis dan tentera itu penting, undang-undang punitif dan preventif itu penting, tetapi ketahanan jiwa rakyat itu lebih penting daripada perundangan yang ada dan daripada keberadaan pasukan keselamatan kerana pertahanan yang sebenarnya adalah pertahan menyeluruh atau handruh.
"Kefahaman (berkaitan pertahanan menyeluruh) ini boleh membantu pertahanan fizikal, malah kita boleh membantu pasukan keselamatan sedia ada," katanya.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa tanggungjawab mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua lapisan rakyat tidak kira dari negeri mana atau asal mereka atas perinsip di 'mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.
Ahmad Zahid juga mengulangi jaminan bahawa Kerajaan Pusat akan memperthankan kedaulatan Sabah dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak menceroboh negara ini.
Katanya Sabah ialah negeri berdaulat dalam Malaysia dan tidak timbul soal tuntutan mana-mana pihak ke atas negeri berkenaan kerana rakyat Sabah, melalui pungutan suara pada tahun 1960-an, sudah membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk Malaysia.
Justeru, kata Ahmad Zahid, kewujudan pelbagai akta dan perundangan yang berbentuk punitif dan preventif di negara ini diwujudkan bagi memastikan kedaulatan negara yang dikecapi kini terus terpelihara manakala akta dan perundangan yang sudah menjadi sebahagian daripada perlembangan negara itu wujud adalah hasil suntikan kesedaran rakyat.
#Ahmad Zahid Hamidi #Kota Kinabalu #Sabah #Sulu #Timbalan Perdana Menteri #TPM #UMS
;