Ancaman siber: Ungkapan ‘usah cakap dengan orang asing’ tidak lagi relevan?
Bernama
Februari 13, 2025 09:15 MYT
Februari 13, 2025 09:15 MYT
Kesedaran mengenai keselamatan siber perlu dipupuk sejak di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi memastikan generasi muda lebih peka terhadap ancaman dunia digital. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pada era 80-an dan 90-an menjadi lumrah ibu bapa menasihati anak-anak agar usah berbicara dengan individu tidak dikenali dan ungkapan 'Don't Talk To Strangers' bukanlah perkara asing.
Namun, kini berbeza kerana dalam dunia siber di zaman ini kanak-kanak boleh berinteraksi dengan sesiapa di alam maya sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko ancaman keselamatan.
Sehubungan itu, Ketua Keselamatan Siber Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Profesor Datuk Mohamad Fauzan Noordin berkata, usaha kerajaan memperkenalkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian bertepatan pada masanya.
Beliau berkata, kesedaran mengenai keselamatan siber perlu dipupuk sejak di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi memastikan generasi muda lebih peka terhadap ancaman dunia digital.
Menurut kajian Meltwater pada 2023 mendapati, masyarakat Malaysia menghabiskan lebih satu pertiga kehidupan mereka dalam talian dengan mengakses Internet lebih lapan jam sehari.
"Jika sebelum ini kita jarang memikirkan keselamatan siber, kini ia menjadi keperluan mendesak kerana akses kepada dunia maya sudah menjadi sebahagian kehidupan harian kita.
"Kanak-kanak mungkin tidak sedar bahawa gambar atau maklumat peribadi yang dikongsi di media sosial boleh dieksploitasi oleh pemangsa siber. Mereka juga lebih mudah terdedah kepada individu asing yang berpotensi membawa ancaman," katanya ketika dihubungi Bernama.
Turut senada, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail yang berpandangan, pendidikan mengenai keselamatan siber harus bermula daripada peringkat awal kerana generasi muda hari ini dilahirkan dalam era digital yang menuntut kemahiran serta kesedaran yang tinggi terhadap ancaman siber.
Beliau turut menegaskan, meskipun pelbagai kempen dan program telah dilaksanakan, kes jenayah siber masih tinggi yang menunjukkan keperluan untuk usaha berterusan dan pendekatan lebih tersusun dalam mendidik masyarakat.
"Kita perlu terus mengingatkan dan mendidik masyarakat secara berterusan agar mereka tidak terjebak dalam penipuan siber atau penyalahgunaan teknologi yang boleh membawa kesan buruk," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab turut menyokong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menganjurkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat di negara ini.
Beliau berkata, kempen itu selari dengan usaha CyberSecurity Malaysia dalam memperluas kesedaran keselamatan siber secara menyeluruh dan pihaknya turut bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam memperkukuh kesedaran keselamatan siber di Malaysia.
"Bagi memastikan keberkesanan kempen kesedaran keselamatan siber, satu gerakan besar-besaran secara berterusan amat diperlukan bertujuan mengelakkan kelalaian dan kecuaian yang boleh mengundang risiko keselamatan siber," tambah beliau.
Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian telah dilancarkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Universiti Malaysia Kelantan pada 21 Jan.
Kementerian Komunikasi melalui MCMC bakal menggerakkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian ke lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan digital.
Antara fokus utama kempen ini iaitu melarang kanak-kanak di bawah usia 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial serta memastikan penggunaan Internet berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Kempen ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran bagi mengelakkan masyarakat menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan jenayah pedofilia selain menggalakkan penggunaan Internet secara selamat serta beretika. - BERNAMA