Ancaman radioaktif: Singapura tingkat pengawasan di pusat pemeriksaan
Bernama
Ogos 24, 2018 16:55 MYT
Ogos 24, 2018 16:55 MYT
Singapura meningkatkan pemeriksaan di pusat pemeriksaannya susulan laporan kehilangan peranti radiografi mengandungi isotop radioaktif Iridium 192 di Malaysia.
Menurut Channel NewsAsia, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) sedang memantau perkembangan kes.
Menurut ICA, kesemua pusat pemeriksaannya mempunyai keupayaan mengesan ancaman radioaktif.
"Sebagai contoh, pegawai ICA menggunakan peralatan seperti pengimbas dan alat pengesan untuk mengimbas paras radiasi pada kargo, kenderaan dan pelawat yang memasuki Singapura," kata jurucakap ICA yang dipetik oleh organisasi media itu.
Menurut media, siasatan rapi sedang dijalankan di Malaysia bagi mengesan peranti seberat 23 kilogram dan bernilai kira-kira RM75,000 kepunyaan sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor itu.
Peranti berkenaan dilaporkan hilang antara 2 dan 3 pagi pada 10 Ogos lalu semasa dibawa balik dari Seremban ke kilang di Shah Alam oleh dua juruteknik.
Peranti itu yang mengeluarkan radiasi beta dan gamma boleh disalah guna termasuk untuk membuat bom oleh pengganas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata dua kakitangan syarikat itu yang ditahan reman sehari susulan insiden telah dibebaskan selepas kenyataan kedua-dua rakyat tempatan tersebut direkodkan.
-- BERNAMA
#ICA
#Ketua Polis Negara
#Mohamad Fuzi Harun
#peranti radiografi mengandungi isotop radioaktif Iridium 192
#Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan