Ancaman pneumonia untuk pesakit COVID-19 selepas sembuh

Bernama
November 10, 2021 10:31 MYT
Bagi pesakit COVID-19 kategori ketiga dan seterusnya, jangkitan sudah mula sampai kepada paru-parunya yang menyebabkan tompokan putih serta keradangan paru-paru. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pesakit COVID-19 yang jangkitannya berlarutan hingga kepada kategori tiga, empat dan lima boleh mendapat apa yang dipanggil COVID-19 Pneumonia atau Radang Paru-Paru COVID-19.
Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, COVID-19 Pneumonia mula menyerang pesakit COVID-19 apabila mencapai kategori tiga dan ini dapat dilihat apabila terdapat tompok putih di bahagian paru-paru semasa ujian x-ray.
"Kes ini antara yang kerap berlaku dalam kalangan pesakit COVID-19 kategori tiga, empat dan lima. Kategori satu dan dua kebiasaannya tidak ada pneumonia lagi.
"Bagi pesakit COVID-19 kategori satu dan dua, virus penyakit itu, SARS-CoV-2 hanya menjangkiti bahagian hidung, tekak dan saluran pernafasan atas. Untuk pesakit kategori ketiga dan seterusnya, jangkitan COVID-19 sudah mula sampai kepada paru-parunya yang menyebabkan tompokan putih serta keradangan paru-paru," katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
ORGANIZING PNEUMONIA
Selain COVID-19 Pneumonia, bekas pesakit COVID-19 ini juga boleh mendapat penyakit baharu yang digelar Organizing Pneumonia.
Dr Nurul Yaqeen berkata, Organizing Pneumonia berlaku apabila paru-paru pesakit berparut setelah sembuh daripada COVID-19.
"Organizing bermaksud parut iaitu parut yang disebabkan dari keradangan yang telah sembuh. Umpamanya seseorang itu mengalami luka di kulit, walaupun sudah sembuh parutnya tetap ada. Jadi parut di paru-paru itu yang kita panggil Organizing Pneumonia," jelasnya.
Menurut beliau, pesakit COVID-19 yang datang ke hospital terutama mereka yang kategori tiga, empat dan lima, virus SARS-CoV-2 sudah menyerang tisu paru-paru seterusnya menyebabkan keradangan.
"Keradangan ini juga dipanggil kecederaan paru-paru. Kebiasaannya, setelah pesakit sembuh, keradangan atau kecederaan itu akan sembuh. Bagaimanapun, bila sembuh, ia akan meninggalkan parut.
"Untuk pesakit COVID-19, biarpun telah sembuh, ada kemungkinan mereka mempunyai parut di paru-paru. Ini menyebabkan berlaku beberapa gejala seperti susah bernafas dan batuk berpanjangan, " katanya, sambil menambah kebanyakan pesakit yang beliau temui adalah pesakit COVID-19 yang sudah discaj dari hospital.
Organizing Pneumonia, kata beliau, boleh juga berlaku kepada pesakit lain yang bukan dijangkiti COVID-19, namun begitu bekas pesakit COVID-19 lebih berisiko untuk menghidap Organizing Pneumonia.
Di samping jangkitan COVID-19, paru-paru berparut juga berlaku akibat individu atau pesakit terdedah kepada habuk dan debu secara berpanjangan atau terdedah kepada jangkitan kulat.
AMBIL VAKSIN CEGAH PNEUMONIA
Menurut Dr Nurul Yaqeen, sebelum negara dilanda wabak COVID-19, beliau amat menggalakkan pesakit berisiko untuk mengambil vaksin influenza dan pneumokokal berikutan kebanyakan penyakit penumonia disebabkan oleh bakteria pneumokokal dan virus influenza.
"Kita akan cadang dan nasihatkan untuk memberi vaksin influenza dan pneumokokal kepada pesakit yang kita rasakan berisiko untuk mendapatkan pneumonia ini. Untuk vaksin influenza kita cadangkan pesakit berisiko mengambilnya setiap tahun sebab virus influenza ini boleh bermutasi. Virus ini boleh mengubah struktur genetik, setiap tahun, struktur genetik bertukar, sebab itu pesakit perlu ambil vaksin influenza setiap tahun," katanya.
Bagi vaksin pneumokokal pula, Dr Nurul Yaqeen berkata individu disarankan atau dinasihatkan untuk mengambil dua jenis vaksin pneumokokal.
"Pertama adalah vaksin pneumokokal diambil sekali seumur hidup, tidak kisah umur berapa hendak ambil vaksin ini namun digalakkan kepada orang berisiko seperti pesakit kencing manis, masalah jantung , warga emas berusia 65 tahun ke atas dan pesakit asma.
"Kedua adalah vaksin pneumokokal yang diambil lima tahun sekali. Jadi secara keseluruhan kita nasihatkan untuk ambil tiga vaksin ini bagi mencegah pneumonia. Walau bagaimanapun sekarang ia bertambah kepada empat iaitu vaksin COVID-19 yang perlu diambil," katanya.
TINGKAT SISTEM DAYA TAHAN
Sementara itu ahli jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad berkata, jangkitan virus perlu diberi perhatian rapi kerana ia sejenis virus yang datang dan pergi.
" Ia akan datang setiap tahun, seperti jangkitan virus influenza yang sering berlaku di musim sejuk di negara Eropah dan Amerika Utara. Kadang kala ia merebak ke negara tropika akibat manusia dapat merentas benua dengan mudah menggunakan kapal terbang.
"Jadi akan sukar mengawal kehadiran jangkitan virus. Apa yang boleh kita lakukan adalah meningkatkan sistem daya tahan kita, antaranya, mengamalkan makanan bernutrisi, minum air secukupnya setiap hari bagi mengelakkan dehidrasi serta memastikan cukup rehat serta tidur.
"Selain itu melakukan pergerakan fizikal atau senaman yang bersesuaian, mengawal penyakit yang ada dengan baik, jauhi arak dan rokok dan mengawal stres dengan baik," katanya.
Mengenai pneumonia, beliau berkata, penyakit ini tidak boleh dipandang ringan kerana berdasarkan Laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2019 yang disiarkan pada 30 Oktober 2019, pneumonia adalah punca kematian kedua tertinggi di negara ini iaitu 11.8 peratus bersamaan dengan 13,851 kes, secara keseluruhan.
Selain itu, laporan daripada Jabatan Statistik Malaysia 2019 turut mencatatkan, radang paru-paru adalah punca kematian tertinggi bagi golongan wanita iaitu 12.8 peratus berbanding kanser payudara (malignant neoplasm of breast) iaitu 4.4 peratus.
BERGANTUNG KETAHANAN TUBUH
Gejala teruk pneumonia bergantung kepada tahap ketahanan seseorang, sama ada pesakit mengalami gejala yang ringan atau pun yang berat.
Antara golongan yang berisiko mendapat gejala pneumonia yang teruk adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas, kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah, wanita hamil, pesakit kronik seperti pesakit diabetes dan kanser, individu yang obes dan pesakit yang menjalani rawatan steroid, radioterapi atau kimoterapi," katanya.
Menurut Dr Zubaidi, secara amnya, pesakit akan mengalami batuk berkahak, demam tinggi, sukar bernafas serta rasa letih akibat tidak cukup oksigen.
"Dalam kalangan masyarakat Melayu, pneumonia juga dikenal sebagai paru-paru berair kerana terlalu banyak kahak yang terkumpul pada kantung udara (alveoli).
"Lendiran tersebut tidak berwarna kerana ia merupakan proses keradangan tetapi akan bertukar menjadi kuning apabila terdapat jangkitan kuman di salah satu atau kedua paru-paru. Akibatnya, alveoli akan dipenuhi cairan atau nanah sehingga menyebabkan penghidapnya sukar bernafas, " katanya.
RUANGAN SISI
Penyakit Pneumonia atau lebih sinonim dengan Radang Paru-Paru tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kerana ia antara penyakit berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.
Pneumonia berlaku apabila paru-paru mengalami keradangan. Ia boleh disebabkan oleh kuman (bakteria dan virus) atau bahan toksin dalam bentuk gas atau butiran dalam bentuk habuk. Apabila ia masuk ke dalam paru-paru, ia merangsangkan proses keradangan, menyebabkan saluran pernafasan bronkus menjadi sempit dan lendiran berkumpul dalam alveolus.
Hari Radang Paru-Paru (Hari Pneumonia) yang disambut pada 12 November setiap tahun bertujuan untuk menyedarkan masyarakat termasuk di negara ini akan bahaya penyakit ini.
-- BERNAMA
#COVID-19 #pneumonia #Radang Paru-Paru COVID-19 #Nurul Yaqeen Mohd Esa
;