Ancaman Laut Sulu: Nekmat jumpa Mat Sabu
Harits Asyraf Hasnan
April 29, 2019 19:55 MYT
April 29, 2019 19:55 MYT
Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu susulan kebimbangan dan ancaman keselamatan para nelayan yang mencari rezeki di perairan pantai timur Sabah.
Pengerusi Nekmat, Abdul Hamid Bahari berkata pertemuan dalam masa terdekat itu akan membincangkan berkenaan hala tuju yang lebih efisyen dalam memastikan keselamatan nelayan lebih terjamin.
“Nekmat perlu memainkan peranan penting supaya kawalan jitu dan mantap, selain supaya keselamatan masyarakat nelayan yang mencari rezeki di tengah lautan itu dijamin.
“Selepas ini saya akan berjumpa dengan Menteri Pertahanan untuk berbincang berkenaan hala tuju yang lebih efisyen, supaya nelayan-nelayan lebih terjamin dari segi kehidupan mereka untuk mencari makan dan sebagainya.
“Sebaik-baiknya, kita sebagai masyarakat nelayan mahukan kawasan larangan atau zon merah ini dipastikan tidak berlaku (ancaman keselamatan), supaya nelayan boleh mencari makan sebagaimana keadaan sebelum ini,” katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sandakan Kali Ke-26 yang dihadiri hampir 1,000 ahlinya.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sabah, Mohd Jamil Abdullah berkata pihaknya akan terus berkerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa bagi memudahkan penyaluran maklumat kepada para nelayan.
“Selaras dengan peranan LKIM untuk menjaga kesejahteraan dan keselamatan nelayan, kami akan memberi arahan atau taklimat dari semasa ke semasa berkaitan keselamatan di laut dengan bekerjasama dengan persatuan nelayan di Sabah.
“Dari segi penguatkuasaan, LKIM memang kita tidak ada kuasa dalam mengawal semua ini, tetapi apa yang LKIM boleh lakukan adalah sentiasa memberi kerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan nelayan berada dalam keadaan selamat apabila menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut,” katanya pada sidang media sama.
Dalam pada itu, penasihat undang-undang PNK Sandakan, Datuk Seri Raymond Tan berharap peranan nelayan sebagai pemangkin ekonomi Sandakan dan Sabah tidak dipinggirkan.
“Cabaran yang dihadapi nelayan-nelayan (Sandakan) pada masa kini jauh lebih mencabar dan berbeza dengan nelayan di tempat lain.
“Jadi, mungkin kerajaan boleh memberikan perhatian terhadap pendapatan keluarga-keluarga nelayan yang berada di kampung,” ujarnya.
#Abdul Hamid Bahari
#agensi penguatkuasa
#ekonomi
#hala tuju
#keselamatan
#LKIM Sabah
#Mohamad Sabu
#NEKMAT
#nelayan
#pendapatan
#penyaluran maklumat
#persatuan
#Raymond Tan
#Sabah
#Sandakan
#Sulu
#undang-undang