Ancaman jenayah teknologi, polis perlu terkehadapan - PM
Azib Zikry
Mac 25, 2024 11:15 MYT
Mac 25, 2024 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bergerak kehadapan dalam penggunaan teknologi menghapus pelbagai jenis jenayah, terutamanya melibatkan jenayah siber dan digital.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi memastikan anggota penguat kuasa tidak terkebelakang dalam menangani jenayah yang semakin mencabar dan licik secara dalam talian.
“Masalah-masalah daripada beberapa aspek memang baru, seperti digital, adalah ancaman hebat.
“Kalau (anggota polis) tidak ada latihan atau keterampilan yang cukup dalam bidang tersebut, kita akan kalah.
“Dulu kita tewas dalam tembakan, sekarang tewas dengan cara canggih dalam alam komputer dan kecerdasan buatan (artifical intelligence),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 Tahun 2024 di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapol, di sini, hari ini.
Anwar turut mengambil contoh negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket perjudian dalam talian melibatkan anggota polis berpangkat tinggi.
Beliau pada masa sama menasihatkan anggota polis supaya tidak terikut serta dalam jenayah sedemikian yang boleh menjurus kepada ketidakpercayaan masyarakat terhadap anggota polis.