Ancaman Islamofobia di Barat

Dr Mohd Mizan Aslam
Mac 30, 2019 08:03 MYT
Peratusan masyarakat Barat yang ingin tahu tentang Islam semakin meningkat apabila kejadian keganasan berlaku sama ada dilakukan oleh pihak Barat mahupun umat Islam itu sendiri. - Gambar fail
PENULARAN budaya Islamofobia adalah ancaman terbesar yang dihadapi oleh negara-negara Barat pada masa ini.
Islamofobia telah menjadikan keadaan di Barat tidak lagi selamat bagi umat Islam dan sentiasa berada dalam keadaan tidak tenteram. Wujud ketakutan kepada umat Islam di Barat untuk berjalan malam, berjalan seorang diri atau bekerja di sektor-sektor tertentu dan banyak lagi.
Islamofobia bermaksud ‘takut, benci dan prejudis keatas agama Islam dan penganutnya’. Islamofobia ini selalunya dikaitkan dengan geopolitik dan perbuatan yang dilakukan iaitu teroris. Rakyat dari negara Arab dan Asia termasuklah Malaysia seringkali dicurigai dan sesuatu perbuatan walaupun seperti melakukan solat di tempat terbuka juga dianggap melakukan perbuatan yang mengancam Barat.
Islamophobia sering dikaitkan dengan pandangan seperti berikut, Islam adalah sebuah agama yang mempromosikan keganasan dan agresif, Islam adalah agama yang barbarik, seksis dan tidak bertamadun, Islam membenci Barat, Islam memecah belah masyarakat dan negara, Islam bersifat menjajah dan mengambil peluang pekerjaan dan menghabiskan duit pembayar cukai, Islam menyebabkan pertembungan tamadun dan Islam juga adalah ideologi politik.
Kajian yang dilakukan keatas 9 buah agama terbesar iaitu Kristian, Yahudi, Islam, Buddha, Evangelikal, Katholik, Mormon, Hindu dan Atheis di Amerika pada 2017, menunjukkan bahawa Islam berada pada kadar melebihi 60 peratus dari segi persepsi negatif oleh Barat.
Council on American-Islamic Relation (CAIR) telah melakukan analisis untuk melihat bagaimana trend Islamofobia di Amerika pada hari ini. Data yang diperolehi menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan yang signifikan dalam bentuk serangan keatas umat Islam iaitu daripada 1,342 kes pada 2014 kepada 3,023 kes pada 2018.
Berlakunya peningkatan lebih sekali ganda yang dicatatkan hasil daripada kejadian yang dilaporkan secara rasmi. CAIR juga telah membahagikan serangan berkaitan Islamofobia ini kepada lima kategori iaitu Kebencian, Siatan FBI, Diskriminasi Pekerjaan, Gangguan dan Penafian Ibadat.
Melalui data CAIR, pelbagai bentuk gangguan secara lisan, fizikal dan perasan telah dilakukan terhadap umat Islam dengan komposisi terbesar iaitu 35%.
Sikap bias oleh Federal Bureau Investigation (FBI) yang juga merangkumi siasatan, pengintipan, sekatan di lapangan terbang dan lain-lain lagi berada pada kadar 23%.
Kebencian pula sebanyak 20%, sektor pekerjaan termasuklah diskriminasi dan penafian hak-hak sebagai pekerja sebanyak 15% dan terakhir adalah penafian ruang untuk beribadat yang mencatatkan 7% kes.
Keadaan ini terkesan kepada mana-mana Muslim yang berada di Barat termasuklah rakyat Malaysia yang bekerja atau menetap di negara tersebut.
Dari segi fizikal seperti rupa-paras, ras, jambang dan warna kulit serta cara berpakaian iaitu bertudung dan berniqab sahaja mereka boleh menerima impak kepada Islamofobia ini.
Satu kajian yang dilakukan oleh Al-Jazeera terhadap isu pengharaman kemasukan imigran Muslim ke Eropah pada tahun 2016 boleh dirujuk. Ketika kempen secara besar-besaran dilakukan oleh Donald Trump untuk jawatan Presiden Amerika, beliau telah memainkan isu perkauman dan ancaman imigran Muslim di Amerika.
Hasilnya, 10 negara Eropah telah dilakukan soal selidik yang melibatkan kira-kira 10,000 responden dari negara Itali, Sepanyol, Perancis, Hungary, Poland, England, Greece, Austria, German dan Belgium. Hasil kajian tersebut menunjukkan semua negara tidak bersetuju untuk imigran Muslim diberikan ruang masuk ke negara-negara mereka dengan Poland mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 71% dan Sepanyol terendah dengan 42%.
Antara punca utama mengapa Islamofobia berkembang di Barat adalah berkaitan dengan Media. Barat yang menguasai hampir 70% industri media dunia menjadi kunci dalam penyebaran pelbagai jenis maklumat.
Rata-rata media Barat akan meletakkan tajuk yang sensasi seperti Terroris Muslim, ISIS, Pengganas Muslim, Anti-Kristian, Barbarik dan lain-lain sebagai tajuk utama bagi mana-mana insiden yang dilakukan oleh ektremism Islam.
Ada kalanya, tajuk seperti ini mendahului fakta, akhirnya apabila perkara sebenar tersebar maka nada ceritanya akan berubah tanpa penyesalan atau sebarang bentuk permohonan maaf. Tetapi, jika sesuatu perbuatan itu dilakukan oleh orang Barat, tajuknya akan lebih sederhana dan simpatik seperti seorang Evangelikal, Budak Gereja, Lelaki Naif, Melalui Zaman Remaja Sukar dan lain-lain tajuk yang bersikap melindungi si pelaku.
Perbincangan dan liputan bagi insiden yang dilakukan oleh Muslim lebih menjurus kepada mangsa dan digambarkan kesedihan, kemurungan serta kehilangan yang besar kepada keluarga mangsa, akan tetapi jika si pelaku adalah warga Barat, tidak akan ada liputan tentang mangsa, malah apa yang difokuskan adalah latar belakang baik si pelaku dan betapa rosaknya sistem hingga beliau terpedaya dan tertipu serta ditonjolkan juga berpunca daripada Muslim itu sendiri yang bersikap terroris.
Faktor kedua mengapa Islamofobia subur di Barat adalah berkaitan dengan kenyataan pemimpin dan dasar negara yang menyokong ideologi anti-imigran dan Ketuanan Kulit Putih. Pemerintahan Trump sebagai Presiden Amerika sejak Januari 2017, memperlihatkan peningkatan kadar kebencian kepada Muslim di Barat.
Manifesto xenophobia atau anti imigran dan dasar Trump untuk menyekat kemasukan imigran dan perjalanan Muslim dari negara-negara seperti Iran, Libya, Syria, Somalia dan Yemen dengan jelas diterima oleh sebahagian besar penduduk Amerika. Ini jelas memperlihatkan bagaimana ideologi ‘righ-wing extremismts’ diterima dan dipraktikkan di Barat. Malah kenyataan-kenyataan kebencian yang disebut beliau menular ke nagara-negara Eropah lainnya.
Seterusnya, tidak dapat dinafikan bahawa kelemahan undang-undang Barat berkaitan pemilikan senjata-api dan lain-lain senjata tajam juga turut menyumbang kepada isu ini. Kerana mudahnya memiliki senjata dan bersifat ‘sah’ serta boleh diberikan lesen walaupun sehingga kepada pemilikan senjata semi-automatik, maka perasaan berani untuk menggangu umat Islam wujud dengan jelas.
Malah ditambah lagi dengan tiadanya hukuman mati dalam sistem perundangan Barat juga sedikit sebanyak memberi impak kepada Islamofobia. Kes seperti Andrei Breivick yang membunuh 77 orang di Sweeden, Alxandre Bissonette membunuh 6 orang di Quebec, Marc Lepine membunuh 14 orang di Motreal, Mohammed Merah membunuh 7 orang di Tolouse dan yang terkini Breton Tarrant yang membunuh 50 orang di Christchurch, semua mereka ini paling tinggi hukumannya adalah penjara seumur hidup tanpa parol.
Sedikit sebanyak sistem perundangan sebegini menjadikan mereka yang terlibat tidak rasa perbuatan mereka akan dibalas dengan nyawa.
Seperkara lagi, Islamofobia juga ada kaitan dengan hak asasi manusia yang diperjuangan oleh Barat. Siri-siri perhimpunan dan demonstrasi anti imigran, anti Islam, anti LGBT, anti wanita, anti kapitalis, anti kulit hitam, anti demokrasi dan pelbagai gerakan bersifat ekstrem syap-kanan ini dibenarkan di Barat.
Hak mereka untuk berhimpun, kebebasan bersuara, kebebasan menyatakan pandangan, kebebasan menyertai mana-mana kumpulan walaupun bergerak secara radikal, kesemua ini terpelihara di negara Barat.
Keadaan ini juga sebenarnya telah menyuburkan sentimen Islamofobia apabila perhimpunan sebegini diberikan publisiti dan dimuatnaik di media-media sosial dan media rasmi negara Barat. Malah debat secara terbuka juga dibenarkan walaupun isunya berkaitan kebencian agama dan Ketuanan Kulit Putih.
Faktor keempat adalah berkaitan dengan ketidak fahaman mejoriti masyarakat Barat tentang Islam. Mereka mempunyai maklumat yang sangat cetek tentang Islam malah sentiasa disogokkan dengan perkara yang tidak tepat tentang Islam. Ini menjadikan mereka mempunyai persepsi yang tidak benar tentang Islam, pada pandangan mereka, Islam adalah agama yang ganas, barbarik, tidak bertamadun, menganiaya wanita, tidak toleran dan pelbagai persepri negatif lainnya.
Malah sebahagian mereka hanya mengenali Islam melalui media yang bersikap berat sebelah dan mempromosikan agenda anti Islam. Malah setiap Muslim yang ke masjid juga dianggap melakukan ritual keganasan dan menyebarkan elemen keganasan.
Faktor kelima dan keenam ini adalah faktor penarik atau faktor dalaman dan kelemahan Muslim itu sendiri, tidak dapat dinafikan sama sekali bahawasanya sikap inklusif sebahagian Muslim di Barat menjadi punca pengembangan Islamofobia. Umat Islam yang berhijrah ke Barat ada yang bersikap tidak toleran, sangat inklusif dan menolak asimilasi. Mereka lebih senang bergerak dan bersosial dalam kelompok mereka sendiri, malah ada yang menolak untuk menerima idea Barat walaupun ianya baik.
Selain itu, sikap sebahagian mereka yang ekstrem dalam memahami dan mengamalkan Islam juga menjadi faktor yang menyuburkan Islamofobia. Ada juga sesetengah pemimpin pertubuhan Islam dan imam masjid mempromosikan keganasan tanpa mereka sedari kerana pemahaman tentang Islam yang amat berbeza.
Kehidupan di dunia Barat mestilah mengambil kira semua perkara kerana mereka adalah sebahagian daripada negara Barat itu sendiri. Harus diingat, Barat yang sanggup menerima imigran Muslim, menggunakan duit pembayar cukai dan berkongsi kekayaan negara dengan imigran dan Muslim lainnya adalah merupakan sebuah hakikat yang harus diterima.
Walau bagaimanapun, didapati Islam sebenarnya semakin berkembang di Barat walaupun dihimpit dengan isu Islamofobia. Semakin Islam ditekan, kelihatannya syiar Islam semakin berkembang.
Peratusan masyarakat Barat yang ingin tahu tentang Islam semakin meningkat apabila kejadian keganasan berlaku sama ada dilakukan oleh pihak Barat mahupun umat Islam itu sendiri. Ini merupakan impak positif dari Islamofobia.

*Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Profesor Madya UNIMAP dan Profesor Kunjungan, Pusat Kajian Timur-Barat Universiti of Hawaii, Honolulu USA
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#barat benci islam #dunia barat #Islam #Islamofobia #Islamophobia #keganasan #ketakutan #militan #pengganas #persepsi barat #persepsi terhadap islam #serangan pengganas #terorisme
;