Ancaman Daish: Malaysia bertukar maklumat dengan Indonesia - TPM
Mariah Ahmad
Julai 9, 2016 17:53 MYT
Julai 9, 2016 17:53 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pihak Imigresen Indonesia bagi mengelak propaganda militan Daish terus tersebar di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, lebih 300 pengikut bekas pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) Abu Bakar Bashir, yang sebelum ini dihukum kerana terlibat dengan kegiatan keganasan, akan dibebaskan daripada penjara sekitar Indonesia.
"Kita bertukar maklumat dengan Indonesia termasuk maklumat mengenai biometrik cap jari agar mereka yang dibebaskan itu tidak terlepas ke tanah air kita, dan mempengaruhi mereka yang sudah terpengaruh dengan propaganda Daish di negara kita,"katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika ditemui di kediaman rasminya di Sri Satria sempena Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menegaskan, pihak polis akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam di setiap negeri memantau semua madrasah bagi memastikan tempat pengajian itu tidak terlibat dengan aktiviti ancaman militan Daish.
Beliau mengesahkan setakat ini pemantauan polis bersama jabatan itu mendapati tidak ada pembabitan madrasah dengan kegiatan militan Daish.
"Setakat ini, kita tidak dapat sebarang maklumat mengenai pembabitan madrasah.
"Jika ada, pihak polis tentunya akan mengambil beberapa langkah untuk melakukan pemantauan," katanya.
Ahmad Zahid ditanya sama ada madrasah dan sekolah-sekolah agama di Malaysia turut dipantau sebagaimana di Indonesia bagi mengekang penularan fahaman militan Daish.
#Abu Bakar Bashir
#daish
#Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
#Indonesia
#Jabatan Imigresen Malaysia
#Jemaah Islamiyah