Ancaman Daesh: Pasukan keselamatan sentiasa siap sedia - Saifuddin

Bernama
Jun 26, 2024 18:39 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Sambutan Peringatan Hari Antidadah dan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan (SSPDK) 2024 hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan negara sentiasa dalam keadaan siap siaga dalam menangani sebarang ancaman terutamanya melibatkan elemen kumpulan ekstremis Daesh.

Ringkasan AI
  • Pasukan keselamatan Malaysia sentiasa siap siaga menangani ancaman ekstremis Daesh, dibuktikan dengan kejayaan polis menahan beberapa individu yang cuba menyebarkan ideologi tersebut.
  • Penahanan lapan individu di Kelantan, Selangor, Johor, dan Pulau Pinang menunjukkan keberkesanan tindakan polis dalam mengawal elemen Daesh.
  • Kesemua suspek yang ditahan berusia 25 hingga 70 tahun dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia dapat dilihat melalui kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menahan beberapa individu yang cuba mengembangkan ideologi berkenaan baru-baru ini.
"Elemen Daesh itu masih ada tetapi polis telah berjaya mematahkan cubaan berkenaan menunjukkan bahawa pihak keselamatan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa.
"Tangkapan ini juga menunjukkan elemen Daesh ini berada dalam batas ruang di mana pasukan keselamatan mampu tanganinya," katanya ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan negara berikutan penahanan lapan individu terlibat dalam ideologi Daesh baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan Khairul Anwar Bachok.
Pada Isnin, media melaporkan lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lepas.
Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang dengan kesemua suspek yang berusia 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
-- BERNAMA
#Daesh #pasukan keselamatan #Kementerian Dalam Negeri #Saifuddin Nasution Ismail
;