Ancaman bom: Polis kerjasama dengan FBI, Interpol kesan pelaku
Hasimi Muhamad
November 24, 2023 16:14 MYT
November 24, 2023 16:14 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan pelaku dan motif berkaitan kes ancaman bom palsu di beberapa sekolah di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan kes tersebut berdepan sedikit kesukaran kerana ia melibatkan jenayah siber dan rentas sempadan.
"Ia berlaku di Jamaica dan Trinidad Tobago (sebelum ini). Kita telah berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan (di negara terbabit) untuk mengetahui apa yang mencetuskan (ancaman palsu) di negara tersebut.
"Setakat ini apa yang kami tahu, kita tidak dapat mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab dan tidak boleh mengenal pasti motif sehingga kita mengetahui siapa mereka," katanya dalam sidang media di Bukit Aman pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Kata Mohd Suhaily lagi, kes ancaman menerusi emel bukan pertama kali berlaku, dan ia pernah melibatkan hotel, hospital, serta premis milik warga asing.
Beliau menambah, semakan awal mendapati beberapa emel digunakan oleh penghantar dengan domain yang sama iaitu 'beeble.com', dengan nama "Taktstorer" kepada sekolah-sekolah yang terlibat.
"'Beeble.com' adalah penyedia emel privasi end-to-end encryption yang disediakan Sikneco Technologies LTD dan didaftarkan di Republik Cyprus," ujarnya,
Terdahulu, dalam sidang media sama, Mohd Suhaily mengesahkan polis menerima sebanyak 51 laporan melibatkan 51 buah sekolah di beberapa negeri berhubung ancaman bom palsu.
Ujar beliau, peningkatan laporan tersebut kerana penerima emel terbabit lewat membacanya, walaupun ancaman bom palsu itu disebarkan pada waktu yang hampir sama.
Jelasnya, setakat 23 Nov, 51 sekolah di sembilan negeri terbabit, dengan laporan paling tinggi diterima di Selangor iaitu sebanyak 18.