Ancaman bom: Aeon Mall Klebang dikosongkan
Bernama
Ogos 23, 2023 20:59 MYT
Ogos 23, 2023 20:59 MYT
IPOH: Bangunan membeli-belah Aeon Mall Klebang di sini dikosongkan berikutan panggilan dipercayai ancaman bom.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan menghantar pasukan polis dan bantuan bomba untuk memeriksa lokasi terbabit.
Beliau berkata panggilan ancaman telah diterima oleh pekerja premis itu petang tadi.
Menurut seorang pekerja yang dikenali sebagai Aishah, 20, pada kira-kira 5.30 petang, loceng amaran dibunyikan dan para pekerja serta pelanggan diarah keluar dari bangunan empat tingkat itu.
Katanya polis bantuan turut memaklumkan operasi pusat beli-belah itu akan dihentikan hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian.
Bangunan itu juga didapati telah dikosongkan.
-- BERNAMA