Ancaman 'bakakuk' di Sabah meningkat
Astro Awani
Oktober 25, 2017 15:24 MYT
Oktober 25, 2017 15:24 MYT
Peningkatan penggunaan dan pemilikan 'bakakuk' ataupun senjata api buatan sendiri semakin membimbangkan pihak berkuasa di Sabah.
Bakakuk yang diperbuat daripada besi dan kayu serta menyerupai senapang itu selalunya digunakan untuk tujuan keselamatan dan berburu.
Namun, tujuan asalnya itu sering disalah guna apabila bakakuk digunakan untuk aktiviti pemburuan haram serta pergaduhan.
Timbul tanda tanya, sejauh manakah masyarakat sedar bahawa pemilikan bakakuk adalah salah di sisi undang-undang?
Adakah pemilik bakakuk sedar bahawa mereka memiliki senjata api haram dan berdepan hukuman di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan.
Malah, individu yang didapati ada bersama pemilik senjata api haram itu dan mengetahui mengenainya turut berdepan hukuman sama.
Selain itu, apa yang merisaukan adalah senjata api haram atau bakakuk yang tidak mendapat lesen pemilikan itu dengan mudah boleh dipindah milik.
Justeru, peningkatan lebih 300 peratus rampasan bakakuk oleh Polis Kontinjen Sabah memaksa pasukan keselamatan itu lebih agresif dalam menangani situasi tersebut.
Pasukan polis juga mewar-warkan supaya pemilik bakakuk menyerahkan senjata api buatan sendiri milik mereka itu kepada balai polis berhampiran bagi mengelak dikenakan hukuman.
#bakakuk
#Masyarakat
#pemilikan senjata api buatan sendiri
#polis
#Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960
#senjata api buatan sendiri
#senjata api haram