Ananda Krishnan, hartawan bijak, 'cap jari' di serata sudut

Madiha Abdullah
November 28, 2024 19:41 MYT
Prospek kerjayanya dipelbagaikan, daripada petroleum kepada hiburan, walaupun beliau sendiri jarang menampakkan diri muncul di mana-mana. - Sumber foto Usaha Tegas Sdn Bhd
TO make money, you have to find tomorrow's business, make tomorrow's money.
Itu pegangan taikun perniagaan Ananda Krishnan yang dikenali sebagai seorang hartawan self-made dengan kekayaan sekitar AS$5.1 bilion (RM22.6 bilion).
Reputasi beliau tidak hanya dibina menerusi senarai penglibatannya dalam syarikat-syarikat gergasi, tetapi dari aspek filantropi, kecerdasan dan gaya perniagaan yang disifatkan strategik dan efektif.
Dikenali sebagai seorang pemimpin yang bijak dengan kepintaran perniagaan yang luar biasa, Ananda memperoleh kekayaan sebagai peneraju Usaha Tegas Sdn Bhd yang mempunyai kepentingan dalam telekomunikasi, media dan perkhidmatan minyak.
Prospek kerjaya beliau dipelbagaikan, daripada minyak dan gas kepada telekomunikasi dan satelit televisyen, walaupun beliau sendiri jarang menampakkan diri muncul di mana-mana, menjaga privasi dan memberi peluang temu ramah hanya sesekali.
''Saya pernah mendengar orang mengatakan saya seorang yang low-profile. Soalan saya, mengapa mesti saya jadi high-profile? Saya hanya menjalankan tugas saya," katanya dalam petikan temu ramah dalam The Sydney Morning Herald.
Dilahirkan kepada penjawat awam berketurunan Sri Lanka pada tahun 1938, Ananda Krishnan Tatparanandam dibesarkan di Brickfields, Kuala Lumpur dan mempamerkan potensi awal beliau dengan memperolehi biasiswa di bawah Rancangan Colombo untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains, politik dan ekonomi di The University of Melbourne, Australia.
Selepas kembali ke Malaysia dengan ijazah sarjana perniagaan dari Universiti Harvard pada tahun 1964, Ananda menubuhkan syarikat perundingan dan memperoleh kekayaan pertamanya menerusi sektor minyak dan gas.
Beliau dikatakan memainkan peranan penting dalam menubuhkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada 1974 dan pernah berada dalam lembaga pengarah syarikat tersebut dan Bank Negara.
"Jika saya mahu menerangkan sifatnya yang luar biasa, ia adalah single-mindedness, disiplin dan tumpuan - adakalanya sampai ke tahap rutin yang membuatkan orang lain fikir ia membosankan," kata seorang rakan sekerjanya.
"Beliau mempunyai visi yang sangat hebat. Beliau seorang yang sangat bijak dan mampu berfikir 10 tahun ke hadapan," kata seorang konsultan yang pernah berkhidmat dengan Ananda.
Prinsip memandang ke hadapan (forward thinking) sering menjadi pegangan beliau.
Ketika dunia masih memikirkan tentang kepentingan 'black gold' (minyak), Ananda turut bersiap-siaga untuk 'berhijrah' ke sektor minyak dan gas
Dan pada suatu masa ketika seluruh Asia masih sedang cuba memahami peradaban dunia pengkomputeran dan internet, Ananda sudah menerjah ke satelit.
"Kalau mahu berjaya dalam perniagaan, kita tak boleh buat sesuatu yang orang lain buat. Carilah perniagaan masa hadapan dan buat untung untuk masa hadapan," katanya dalam temu ramah bersama Business Times pada 1996.
Tidak lama selepas itu, beliau berperanan besar membina menara berkembar yang dinamakan sempena syarikat yang mendudukinya sebagai penyewa terbesar - tidak lain tidak bukan, Petronas.
Ananda dilaporkan menjual projek itu pada tahun 90-an, dan menggunakan wang tersebut untuk membiayai penyertaannya dalam perniagaan satelit, MEASAT Global.
Ia kekal sebagai salah satu tunjang empayar konglomerat penjanaan kuasa, hiburan dan hartanah (Tanjong PLC), saluran TV berbayar (Astro All Asia Networks) yang telah mencapai dua pertiga isi rumah Malaysia setakat 2024, serta penerokaan sektor hartanah dan minyak.
Sebahagian besar kekayaannya datang daripada kepentingannya dalam kumpulan rangkaian telekomunikasi terbesar Malaysia, Maxis.
Turut terkenal dengan kerja amalnya, Ananda memainkan peranan penting dalam membiayai acara muzik global seperti Live Aid dan secara konsisten menyumbang kepada kerja amal terutamanya institusi pendidikan dan anak-anak miskin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Daripada hanya memberi wang kepada badan amal, saya mahu melaburkannya kepada seseorang yang boleh mengumpul sejumlah besar wang,” kata Ananda dipetik dalam Newsweek.
Beliau kemudiannya menghubungi Bob Geldof, orang penting di sebalik konsert Live Aid 1985 untuk menawarkan bantuannya kepada organisasinya, The Band Aid Trust.
Ananda dilaporkan telah menawarkan untuk mengagihkan hasil yang diperoleh daripada single, Do They Know It's Christmas dari poketnya sendiri.
Pada tahun 1985, Ananda menyumbang AS$750,000 (anggaran RM3.25 juta) beserta surat kredit AS$1 juta (anggaran RM4.46 juta) untuk menjadikan konsert Live Aid satu realiti.
#Ananda Krishnan meninggal dunia #Maxis #MEASAT #Astro
;