[ANALISIS] PRN Johor: Negeri yang makmur perlu didokong rakyat yang makmur

Firdaus Azil
Mac 13, 2022 16:11 MYT
Isu dan permasalahan di Johor ini sedikit kompleks, jika ada keinginan politik, ia pasti boleh diselesaikan dengan baik. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, seramai 1.42 juta daripada keseluruhan 2.59 juta rakyat negeri itu telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, memberikan mandat kepada parti politik untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang baharu.
Sebanyak 54.92 peratus (mengikut culaan Suruhanjaya Pilihan Raya) pengundi itu telah mewakili keseluruhan 3.532 juta penduduk di negeri ini, satu angka yang dianggap membimbangkan oleh sesetengah pihak tentang isu kesedaran dan hak.
Barisan Nasional (BN) berjaya memadamkan peristiwa hitam yang membadai mereka pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas, di mana buat pertama kalinya parti itu dijatuhkan, baik di peringkat Persekutuan, mahupun di beberapa buah negeri.
Ini termasuk Johor, yang sering digambarkan sebagai tempat lahirnya parti Melayu terbesar tanah air iaitu UMNO. Lokasi kelahiran itu juga unik - tangga Istana Besar Johor.
Keputusan PRN semalam jelas memihak kepada UMNO dan BN, apabila mereka berjaya mendominasi dengan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melepasi sasaran dua pertiga daripada keseluruhan 56 kerusi.
UMNO kembali?
Pada PRU yang lepas, BN hanya memenangi 19 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, telah memenangi 36 kerusi.
Kini, UMNO sendiri memenangi 33 kerusi iaitu satu jumlah yang cukup membanggakan bagi mereka, dan menggerunkan pihak lawan.
Itu ditambah dengan sumbangan empat kerusi MCA (daripada 15 kerusi ditandingi) dan tiga kerusi MIC (daripada 4 kerusi ditandingi).
Tiada masalah untuk penyandang kerusi DUN Benut, Datuk Hasni Mohammad selaku Ketua Penyelaras Jentera BN Johor untuk terus selesa di kerusi tersebut, mengesahkan kembalinya beliau sebagai Menteri Besar Johor.
Biarpun ada sedikit rencatan dalam pembahagian kerusi di kalangan komponen BN, namun kemenangan selesa BN Johor menunjukkan bahawa rencana dan strategi Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, sentiasa tepat.
Ini bukan rekod untuk BN semata-mata, tetapi ini juga rekod untuk Tok Mat, selepas perancangan beliau memungkinkan BN Melaka merampas kembali negeri itu pada PRN yang lepas, dengan keputusan 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi.
KEPUTUSAN PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR 2022
BACA: Bila PRU15 akan diadakan? Ini penjelasan Perdana Menteri...
Bagi Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, serangan yang ditujukan kepada beliau, propaganda bertali arus tentang ‘kluster mahkamah’ berjaya disenyapkan seketika dengan kemenangan bergaya dua PRN tersebut.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seorang lagi pemimpin yang dikaitkan dengan ‘kluster mahkamah’, seperti biasa hadir dengan ‘starpower’.
Bukan calang-calang aura yang dibawa, sehingga ada yang menganggap, kemenangan ini harus juga disandarkan kepada kejayaan kempennya.
Untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada sedikit canggungnya.
Ini kerana kebiasaanya Perdana Menteri itu adalah Presiden UMNO, Pengerusi BN.
Tetapi kini Naib Presiden UMNO itu dalam keadaan yang sedikit ‘pelik’ memandangkan ada pihak yang bertegas bahawa PRU15 harus dilakukan segera bagi memastikan BN dan UMNO kembali menguasai pentadbiran.
Secara keseluruhan, BN berjaya memperoleh hampir 600,000 undi, menyamai 43.1 peratus daripada keseluruhan.
Perikatan Nasional, jangan dinafikan bisanya
Seperti kata seorang strategis dari Perikatan Nasional (PN) yang pernah bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri berkata kepada Astro AWANI: “We want Malaysians to know that we are here.”
PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendapat saguhati tiga daripada keseluruhan 56 kerusi yang ditandingi – DUN Bukit Kepong, DUN Maharani dan DUN Endau.
Secara kasar, keputusan itu mungkin sedikit pelik memandangkan ramai yang menyangka tiada tempat untuk PN dan Muhyiddin yang menggunakan tagline ‘Abah Sayang Johor’ dalam PRN kali ini, biarpun tidak dapat dinafikan, persiapan jentera dan ‘war chest’ mereka tidak ubah seperti BN.
BACA: PRN Johor: Zambry dedah 15 punca Barisan Nasional menang
BACA: PRN Johor: Pas terima keputusan dengan hati yang lapang - Abdul Hadi
Keputusan bekas Perdana Menteri itu untuk tidak mempertahankan DUN Gambir, ada pro dan kontra - bersandarkan pada dapatan bahawa popularitinya sudah berkurangan dan bahaya untuk pengerusi gabungan parti itu kalah di ‘kubu kuat’ sendiri.
Namun, dari segi bilangan undi di kawasan yang mereka tandingi (Larkin sebagai contoh), ternyata jenama PN dan warna biru pilihan mereka juga tidak kurang hebatnya, sekali gus memberi bayangan bahawa parti itu pencabar kuat untuk PRU akan datang.
PN meraih tiga kemenangan iaitu dua kerusi disumbangkan oleh Bersatu melalui bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di DUN Bukit Kepong dan Alwiyah Talib (DUN Endau) manakala dari Pas ialah Abdul Aziz Talib (DUN Maharani).
Keputusan PRN Johor menunjukkan PN berjaya mendapat tempat kedua dari segi bilangan undi populariti iaitu 334,457 undi atau 24 peratus daripada jumlah keseluruhan.
DAP masih konsisten, Pakatan Harapan perlus ‘reset’
Biarpun ada sedikit masalah di peringkat awal, dari segi pembahagian kerusi, serta gerak kerja yang sedikit terganggu ekoran pertelingkahan dalaman, DAP masih baik iaitu memenangi 10 daripada 14 kerusi yang ditandingi.
Malah, sekalipun majoriti yang sedikit berbanding PRU lepas, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berjaya menepis faktor sabotaj dengan memenangi kerusi DUN Perling, biarpun pada mulanya beliau sendiri merasa was-was dengan keputusan untuk bertanding di kerusi itu.
Parti Amanah Negara (Amanah) pula mengalami kejutan apabila Pengerusi PH Johor dari parti mereka, Aminolhuda Hassan gagal mempertahankan DUN Parit Yaani, biarpun majoriti sangat tipis, iaitu 294 undi.
Daripada keseluruhan 16 kerusi yang ditandingi, hanya Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang berjaya menyelamatkan sedikit maruah yang ada, iaitu DUN Simpang Jeram dengan majoriti 2,399 undi.
Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), selepas tewas semua kerusi dalam dua siri pilihan raya negeri sebelum ini (PRN Sarawak dan PRN Melaka), prestasi buruk seakan-akan berulang apabila hanya memenangi satu daripada keseluruhan 20 kerusi DUN yang ditandingi.
Dan keputusan di DUN Bukit Batu juga hampir tercabar apabila calonnya Chiong Sen Sern hanya memenangi saingan empat penjuru itu dengan majoriti tipis 137 undi.
Ada penyokong dan pemimpin PKR yang menyalahkan Ikatan Demokratik Muda (MUDA) kerana ‘mencuri’ kerusi mampu menang, Puteri Wangsa misalnya.
Tetapi yang jelas dan nyata, PKR perlu menilai semula faktor kekalahan besar mereka kali ini.
Apakah ada masalah dari segi senarai calon? Apakah berkesan keputusan untuk menggunakan logo sendiri? Atau Keadilan itu memerlukan agenda dan kepimpinan yang baharu?
Dan lebih menarik, keputusan pada PRN Johor ini akan memberi impak yang cukup besar kepada pemilihan parti PKR dan DAP.
Jika dicampur peratusan undi popular antara PH (DAP + Amanah) dan PKR, mereka sebenarnya berada di tangga kedua di belakang BN.
MUDA, akan ada untuk masa yang lama
Ini parti yang sering menjadi sebutan semua pihak - baik pihak lawan mahu pun kawan.
Ada yang berpendapat, parti yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu hanya gangguan, tidak kurang yang melihatnya sebagai satu ancaman.
Semua pemimpin kanan ada menyebut tentang parti itu – baik Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang) sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Razak (BN) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-PH), bahkan
menjadi bualan masyarakat di semua lapisan.
Sampai ke satu tahap, ada cadangan untuk mengubah terma ‘pengundi muda’ kepada ‘pengundi baharu’, semata-mata untuk memastikan parti itu tidak mendapat publisiti secara sedar atau tidak.
Hadirnya sebagai pencabar di tujuh kerusi DUN, tetapi biarpun menang hanya satu kerusi, DUN Puteri Wangsa itu ibarat ‘jewel of the crown’.
Keputusan Amanah ‘menghadiahkan’ kerusi itu kepada MUDA membuatkan PKR berasa jengkel, tetapi bagi MUDA, ia amat berbaloi.
Setiausaha Agung mereka, Amira Aisya Abdul Aziz sah bergelar Yang Berhormat, selepas berjaya memenangi saingan enam penjuru dengan majoriti 7,114 undi.
Mungkin dengan formula dan perancangan yang cukup rapi, MUDA akan menjadi dominan dalam arena politik tanah air pada suatu hari nanti.
Pejuang hilang deposit, Warisan kalah semua tempat
Bagi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), alasan di sebalik kekalahan disandarkan kepada faktor peratusan mengundi yang cukup rendah serta faktor logo yang mungkin masih belum terbiasa dalam kalangan rakyat Johor.
Dengan ‘starpower’ Tun Dr Mahathir Mohamad tak akan pudar, penganalisis berpandangan, Pejuang perlu terus konsisten dengan mesej ‘anti-rasuah’ mereka, supaya lama kelamaan, ia akan menjadi antara faktor utama yang menentukan kemenangan seseorang calon atau parti.
Begitu juga dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, satu ketika dahulu cukup popular dalam UMNO, namun kekalahan Parti Warisan di semua kerusi yang ditandingi, wajar untuk dinilai semula.
Apa yang sama antara dua parti ini ialah, PRN Johor ini merupakan sebahagian dari langkah masa panjang mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum.
Rakyat Johor telah memilih
Isu dan permasalahan di Johor ini sedikit kompleks, namun seperti yang telah dilaporkan oleh Astro AWANI melalui siri laporan khasnya sebelum ini, jika ada keinginan politik, ia pasti boleh diselesaikan.
Dengan lokasi geografi yang cukup bertuah, terletak di selatan tanah air, mempunyai pelabuhan bertaraf antarabangsa serta bersempadan dengan Singapura, potensi Johor – seperti yang semua sedia maklum – cukup luas.
Namun, keputusan telah memihak kepada BN dan sudah pasti Hasni selaku Menteri Besar Johor (jika diperkenan Tuanku Sultan Johor) serta barisan Exco baharu, tidak akan melupakan naratif mereka sendiri, iaitu kestabilan.
Diharap Kerajaan Negeri Johor yang baharu tidak lupa tentang Ikhtiar BN mereka.
Jangan dilupakan nasib masyarakat Orang Asli Seletar Laut yang dipimpin Tok Batin Laily di Kampung Orang Asli Pasir Salam yang sudah 60 tahun bergantung kepada bekalan air dari lombong yang tercemar.
Demikian juga nasib Mohammad Affandi, isterinya Siti Hajar dan anak mereka yang masih hidup sebagai gelandangan di Larkin, yang tidak tahu apa untung nasib di masa akan datang.
Bahkan, keperitan yang dilalui golongan belia seperti Mohd Fairuz Apandi, yang terpaksa melakukan dua kerja demi kelangsungan hidup diri dan keluarga, ekoran kos sara hidup di Johor Bahru yang tinggi berbanding bandaraya yang lain juga jangan dipinggirkan.
Dan, jenguk-jenguk dan bertanyalah khabar usahawan tempatan seperti pengasas Faiz Agro, Mohd Faiz Abdul Rahman yang terpaksa menanggung kenaikan kos sehingga 30 peratus kerana hasil tanaman dan perniagaanya terjejas ekoran perubahan cuaca.
Serta jangan dilupa adik Muhd Akid Shahrul Azhar yang terpaksa menanggung derita sehingga terpaksa bergantung kepada mesin pernafasan setiap malam kerana terhidu wap beracun dari Bencana Sungai Kim Kim.
Beringatlah wahai pemimpin yang dipilih, Johor yang makmur, perlu didokong oleh rakyat yang makmur.
#Johor Memilih #Analisa #PRN Johor #Johor Makmur
;