Analisis Berita: Apa maknanya Earth Hour?
Noor Azam Shairi
Mac 24, 2013 15:21 MYT
Mac 24, 2013 15:21 MYT
Kalau anda adalah antara jutaan warga dunia yang merayakan Earth Hour malam tadi, syabas! Semoga acara memadam lampu dan mematikan elektrik selama satu jam itu memberikan anda kesedaran tentang pentingnya perubahan iklim dan pemanasan global. Semoga anda hari ini memulakan haluan baru jadi seorang yang mengamalkan hidup yang lebih mesra alam.
Jika sebelum ini anda tidak pernah peduli bagaimana cara hidup anda merosakkan alam sekitar, harapannya selepas ini anda sudah taubat nasuha. Seperti orang yang balik daripada menunaikan ibadah haji, harapnya anda bersih sebersih-bersihnya tanpa dosa menjahanamkan alam sekitar.
Earth Hour adalah kempen yang digerakkan oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) bagi mencetuskan kesedaran tentang perlunya kita melakukan sesuatu — dan melakukannya sekarang — untuk menyelamatkan bumi ini daripada binasa dengan lebih cepat.
Padam lampu
Ia adalah satu tindakan politik yang bermula pada 2007 di Sydney. Pada tahun itu, 2.2 juta penduduk kota itu ikut serta mematikan elektrik selama satu jam pada malam 31 Mac. Pada tahun berikutnya, kempen itu digerakkan di serata dunia melibatkan lebih 400 bandar di 35 buah negara di kesemua tujuh benua. Ia kemudian berkembang dari tahun ke tahun.
Pada tahun lalu, ia dianjurkan di sekurang-kurangnya 7,000 buah bandar di lebih 150 buah negara. Acara Earth Hour malam tadi pula dipercayai adalah yang terbesar sejak ia dianjurkan di seluruh dunia lima tahun lalu.
Acara itu sebenarnya adalah perlambangan semata-mata. Salahlah kalau anda memikirkan bahawa selepas mematikan elektrik selama satu jam, anda sudah melakukan segala-galanya untuk alam sekitar, untuk memperlahankan kesan pemanasan global ke atas bumi dan untuk mewariskan alam ini kepada anak cucu generasi masa depan. Anda tersilap besar.
Acara itu pun dari satu sisi bermula dengan langkah yang salah. Apakah menyelamatkan alam sekitar bermakna kita harus hidup bergelap? Apakah gaya hidup yang lestari ertinya kita kembali kepada hidup zaman batu? Minta maaf.
Saya sangat kasihan kepada mereka yang menyertai acara Earth Hour tetapi bersesak-sesak di jalan raya di tengah Kuala Lumpur pada malam minggu semata-mata untuk ke KLCC melihat menara kembar kebanggaan negara itu dimatikan lampunya. Kereta bersusun di kiri kanan jalan biarpun itu kawasan larangan meletakkan kenderaan.
Selebihnya, saya curiga apakah kempen alam sekitar ini sudah jadi budaya pop serta alat kapitalis untuk mengambil kesempatan ke atas budaya pengguna?
Gaya hidup lestari
Mengubah gaya hidup jadi lestari bukanlah satu kerja mudah. Ia sesuatu yang sangat tidak selesa bagi mereka yang sudah terbiasa dengan gaya hidup yang membinasakan alam ini. Ketidakselesaan itulah yang menjadi inti pati mesej bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore dalam bukunya An Inconvenient Truth: The Planetary Emergency of Global Warming and What We Can Do About It (2006). Buku itu terbit hampir serentak dengan sebuah dokumentari dengan judul yang sama.
Menurut Al Gore, orang enggan menerima kenyataan bahawa kita sedang berdepan dengan krisis alam sekitar yang cukup hebat kerana pembetulannya menuntut kita untuk mengubah cara hidup — tiada pilihan lain. "Hakikatnya ialah krisis iklim ini sesuatu yang sangat tidak menyenangkan bahawa kita harus mengubah cara hidup kita," tulis Al Gore.
Beliau yang selepas bersara daripada politik jadi aktivis alam sekitar kemudian menulis sambungan kepada buku pertamanya itu dan diberi judul, Our Choice: A Plan to Solve the Climate Crisis. Al Gore berhujah bahawa mengubah cara hidup itu adalah tugas moral setiap orang.
Itulah persoalan yang ada di depan kita sekarang. Adakah kita bersedia untuk mengubah cara hidup yang selama ini selesa? Adakah anda sanggup meninggalkan kenderaan persendirian dan naik pengangkutan awam? Adakah anda mengitar semula kertas terpakai? Adakah anda selesa membeli-belah di pasar raya tanpa beg plastik? Adakah anda boleh bertahan tanpa pendingin hawa?
Siap sediakah kita untuk mengurangkan penggunaan air dan sedarkah kita bahawa tidak semua air untuk kegunaan sehari-harian harus datang daripada pili? Cuba teliti laporan khas mengenai penuaian air hujan oleh wartawan kami, Tan Su Lin:
Earth Hour bukan acara suka ria — berhimpun, berpesta dan bergembira, atau suka-suka duduk bergelap selama satu jam sehari dalam setahun. Ia lebih besar daripada itu. Ia adalah acara yang seharusnya
mengingatkan kita tentang gaya hidup yang kurang selesa demi masa depan anak cucu. Ia seharusnya jadi acara pembuka mata. Ia adalah peringatan tentang penggunaan tenaga serta keperluan kepada tenaga yang diperbaharui.
Tetapi apakah cukup mesej yang dilontarkan sepanjang acara itu untuk menyedarkan kita tentang gaya hidup lestari? Apakah tindakan kita sebagai sumbangan kepada kelestarian alam ini? Apakah kempen yang dibuat sebagai simbolik itu berjaya menukarkan kita untuk jadi 'orang baru' -- yang taubat nasuha tidak lagi menjahanamkan bumi ini?