Anak Zahid letak jawatan ahli Perbadanan SME Corp

Hasimi Muhamad
April 10, 2021 16:53 MYT
Nurulhidayah mengumumkan meletakkan jawatan dalam surat bertarikh 6 April.- Foto Instagram/nurul.zahid
KUALA LUMPUR: "Jawatan yang dilantik saya sukarela lepaskan. Jawatan yang dipilih atas pemilihan yang sah, wajib dipertahankan."
Demikian kata anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurulhidayah selepas mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli Perbadanan SME Corp, agensi Kementerian Pembangunan Usahawan (MEDAC) pada Jumaat.
Walaupun tidak menyebut secara jelas, kenyataan iu seolah-olah dilihat cuba mempertahankan Ahmad Zahid yang ketika ini didesak agar melepaskan jawatan secara terhormat sebagai Presiden parti Melayu itu.
Berdasarkan kemas kini dimuat naik, Nurulhidayah, 42, turut menunjukkan surat peletakan jawatannya bertarikh 6 April lalu yang dihantar kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
"Soalan saya siapa tidak ada 'telor' sekarang," katanya dalam entri Instagramnya pada Jumaat.
Difahamkan peletakan jawatan yang disandang beliau sejak 4 Januari lalu itu turut didakwa ada kaitan dengan desakan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah bagaimanapun menyatakan bahawa kapsyen yang ditulis beliau tidak melambangkan penampilannya atau mereka yang 'sefesyen' dengan beliau.
BACA: Audio tular: Zahid Hamidi seru ahli UMNO gerakkan media sosial
BACA: Annuar Musa enggan bersubahat dengan Zahid Hamidi
Sebaliknya, tegas anak sulung Ahmad Zahid itu, ungkapan tersebut disifatkan sebagai menunjukkan keberanian kerana bersikap benar.
"Ya Allah, jika bukan tempat aku di SME Corp untuk membantu orang ramai, berikan aku jalan dan kecukupan untuk aku membantu mereka yang susah dan memerlukan," tulisnya lagi.
#Zahid Hamidi #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #UMNO #Nurulhidayah #SME Corp #Anak Zahid
;