Anak Zahid Hamidi, Nurul Hidayah didenda RM800 langgar PKP
Astro Awani
Mei 5, 2020 12:02 MYT
Mei 5, 2020 12:02 MYT
Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Nurul Hidayah yang juga anak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan suaminya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.
Pertuduhan terhadap Nurul Hidayah dan Saiful Nizam dibacakan di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim.
Tertuduh didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran.
Baru-baru ini, Nurul Hidayah, 41, memuat naik gambar di Instagram miliknya ketika dia dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing.
Tindakan Nurul Hidayah itu kemudiannya mendapat kecaman netizen yang mendakwa Nurul Hidayah dan suaminya melanggar PKP kerana keluar berdua serta menyalahgunakan kedudukannya sebagai anak kenamaan.
#Ahmad Zahid Hamidi
#denda
#Mahkamah Majistret
#Nurul Hidayah Ahmad Zahid
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Saiful Nizam Mohd Yusoff
#UMNO