Anak yatim piatu Amira dan Aqila masih dibayangi kesedihan

Bernama
Jun 27, 2017 11:45 MYT
Nur Firuza Amira (kiri) dan adiknya Nur Firuza Aqila menyambut raya tahun ketiga tanpa ibu bapa. - Bernama
Seketika suasana ceria yang menyelubungi Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya untuk anak yatim-piatu, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 9 dan adiknya Nur Firuza Aqila, 6, bertukar pilu.
Kedengaran suara tangisan serta esakan Amira, sehingga ramai yang hadir pada majlis itu tidak dapat menahan kesedihan dan turut menitiskan air mata.
Amira sebelum ini begitu gembira menerima pelbagai sumbangan hari raya. Begitu juga Aqila. Sesekali terdengar suara mereka menjawab pertanyaan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang yang menyampaikan sumbangan itu.
Mungkin kerana perhatian atau pertanyaan demi pertanyaan, menyebabkan Amira menjadi sebak dan terus menangis.
Sebelum itu Amira berkata pada hari raya nanti dia akan mengajak mama dan baba (panggilan untuk ibu dan bapa saudara yang menjaga mereka) menziarah kubur papa, mama dan adiknya.
Dia rindu sangat papa dan mama. Kata-katanya terhenti di situ dan anak kecil itu mula menangis teresak-esak, begitu hiba. Mungkin perasaan rindu yang amat sangat kepada ibu dan ayah membuatkan Amira tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan itu menyebabkan air matanya bercucuran.
Agak lama juga untuk "mama", Yusnidah Hussain, 49, berjaya memujuk Amira sambil memeluk erat tubuh kecil itu.
MASIH BERSEDIH
Menurut Yusnidah, antara Amira dan Aqila, si kakak yang lebih terkesan dengan kehilangan mendadak ibu bapa mereka. Mungkin kerana dia sudah besar dan banyak menyimpan memori indah bersama papa dan mamanya.
"Aqila agak pendiam, dan tidak begitu menunjukkan emosinya, masa masa kejadian dia baru berusia tiga tahun," jelas Yusnidah.
Ibu bapa dua beradik ini maut dalam kemalangan langgar lari yang berlaku pada 2 Mei 2015. Fairuz Nizam Hussain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, terkorban dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves. Kes kemalangan tersebut mendapat liputan meluas media.
Sejak itu, dua beradik yatim piatu itu tinggal sekejap bersama nenek mereka sebelum dipelihara bapa saudara mereka. Sejak tiga tahun yang lalu, dua beradik ini tinggal bersama Yusnidah di Gombak, Selangor setelah beliau mendapat hak penjagaan sementara ke atas dua beradik itu.
"Terima kasih kerana masih ingat pada Aqila dan Amira. Kami tidak menjangka rezeki hari raya untuk Amira dan Aqila ini. Insya-Allah kedua-duanya akan kami jaga sebaiknya," ujar Yusnidah terharu.
VIDEO: Amira luah rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia
VIDEO: Hajat Amira bertemu Siti Nurhaliza tercapai
VIDEO: Cari orang yang langgar ayah saya
TAHUN KETIGA TANPA IBU BAPA
Menurut Yusnidah, tahun ini adalah tahun ketiga Amira dan Aqila menyertai keluarga besarnya. Beliau sendiri mempunyai lapan orang anak, berusia antara sembilan hingga 27 tahun.
"Walaupun masih ada kesedihan, tetapi mereka pandai menyesuaikan diri," kata Yusnidah dengan menambah rumahnya semakin meriah dengan telatah manja kedua beradik itu.
Melihat kepada kemesraan dan kemanjaan mereka bersama Yusnidah dan suaminya, memang jelas kelihatan mereka berdua tidak kurang kasih sayang. Aqila sesekali datang berlari dan baring di atas riba babanya.
Amira pula rajin mengusik si adik yang tidak sabar menunggu waktu berbuka .
"Nak makan kuih semperit," katanya setelah melihat salah satu sumbangan yang diterima adalah kuih semperit.
TAKUT KEHILANGAN
Menurut Yusnidah, dua beradik itu gemar memberi beliau nota kecil dengan kata-kata yang amat menyentuh perasaannya.
"Terima kasih mama sebab jaga Amira dan Aqila, I love you mama", antara nota yang ditulis.
"Kadang-kadang bila saya balik, tiba-tiba mereka datang peluk saya, hati mana yang tak tersentuh. Nampak ceria tetapi kita tahu, mereka sebenarnya takut melalui satu lagi kehilangan,"cerita Yusnidah dengan air mata bergenang.
Bagaimanapun, beliau bersyukur Amira dapat meneruskan persekolahan dengan baik dan tidak menjejaskan pelajarannya.
Keluarga itu turut menerima kaunseling daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi bimbingan kepada Yusnidah agar beliau dapat seimbang dalam menjaga dan menangani anak kandungnya dan juga anak-anak saudaranya itu.
"Seronok tinggal dengan mama. Mama selalu bawa pergi Wangsa Walk, makan ayam penyet, " kata Amira merujuk kepada pasar raya yang sering dikunjunginya bersama ibu bapanya dahulu.
"Amira memang suka makan ayam penyet sebab mama mereka selalu bawa makan di situ. Boleh katakan setiap minggu kami akan bawa mereka ke sana," kata Yusnidah yang kini menghantar dan mengambil mereka berdua dari sekolah demi keselamatan mereka.
PROGRAM NINE11, RAYA SPECIAL BNC
Amira dan Aqila dibawa ke Koperasi Bernama, Wisma Bernama untuk menerima sumbangan Aidilfitri daripada beberapa penaja.
Majlis itu dirakam Bernama News Channel (BNC) untuk Rancangan Khas Hari Raya, bagi Program NINE11 BNC.
Menurut Penerbit dan Pengarah Program, Shamsul Sufian Othman, untuk edisi khas hari raya itu, pihaknya turut merakamkan gelagat dua beradik tersebut menyambut hari raya.
"Selain majlis penyampaian sumbangan berbentuk pakaian dan duit raya, mereka turut menerima pakaian sekolah dan beberapa kelengkapan lain. Terima kasih juga kepada pasukan CSR Hawa Business Centre (HBC) dan orang perseorangan yang sudi memberikan sumbangan buat Amira dan Aqila," jelas Shamsul.
Menurut Shamsul, mereka menerima sumbangan daripada enam usahawan yang terlibat di bawah HBC iaitu Busana Saizara, Canggih, Teratak Spa, Yusa Food Products Sdn Bhd dan Biskut Raya keluaran Norli Yusop.
"Program NINE11, Raya Special adik Amira dan Aqila dijadual disiarkan di BNC pada 27 Jun 2017 ini, iaitu hari raya ketiga. Antara lain ia memaparkan persiapan dua beradik tersebut menyambut hari raya," tambah beliau yang turut tersentuh melihat gelagat dua beradik tersebut.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #keluarga #kemalangan #Kemalangan Duke #Nahas #Nur Firuza Amira Fairuz Nizam #Nur Firuza Aqila #yatim piatu
;