'Anak VIP atau VVVIP sekalipun, you touch you go' - Asyraf Wajdi
Sinar Harian
November 9, 2023 14:46 MYT
November 9, 2023 14:46 MYT
PUTRAJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi terhadap jenayah buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Tegas Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pihaknya tidak akan menutup sebarang perilaku yang dilakukan pelajar termasuk anak-anak kenamaan.
"Biarlah anak VIP atau VVVIP mana sekalipun, you touch you go!" katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen, Asyraf turut memberi respons terhadap pengguna Facebook Nurzahila Jamidullin II yang mendakwa anaknya dipercayai menjadi salah seorang mangsa buli di sebuah MRSM yang terletak di Negeri Sembilan.
Dakwa wanita itu, anaknya mengalami trauma dan mengambil masa untuk pulih selepas beberapa siri rawatan hospital.
"Kami orang kampung jer Dr. Hanya kerana kami orang kampung, tak ada perhatian dan pembelaan sewajarnya pun," tulisnya.
Terdahulu, tular kes buli yang didakwa berlaku di sekolah berasrama elit iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) selepas seorang wanita menerusi platform X mendakwa pihak pengurusan kolej gagal menangani perkara berkenaan dengan baik, termasuk menjatuhkan hukuman setimpal ke atas semua pelajar terbabit.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya. -Sinar Harian